Polis akan kenalpasti ‘sekolah panas’ di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan mengenalpasti sekolah-sekolah bermasalah atau "sekolah panas" di sekitar ibu negara agar usaha dapat digembleng ke arah menangani masalah disiplin, jenayah dan sosial dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pelbagai aktiviti seperti pameran, ceramah, dialog dan edaran risalah pencegahan jenayah akan diadakan dari semasa ke semasa di sekolah panas yang dikenalpasti bagi mengingatkan pelajar agar menjauhkan diri daripada masalah sosial dan jenayah.

"Program ini merupakan satu usaha untuk mendekatkan pelajar dan polis bagi memudahkan proses penyaluran maklumat, mengesan aktiviti dan permasalahan jenayah yang wujud, sekaligus membanteras kegiatan tidak sihat dalam kalangan murid dan pelajar sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan pengawas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, di sini.

Pada majlis itu, Muhammad Sabtu menyampaikan watikah pelantikan pengawas kepada 89 murid termasuk kepada Ketua Pengawas Khairul Azli Khairul Razi dan Penolong Ketua Pengawas Alia Suraya Ahmad yang dipilih melalui pilihan raya pada 11 Januari lalu.

Sekolah tersebut mencipta sejarah apabila pemilihan ketua muridnya itu dibuat secara pilihan raya sebenar serta dikendali dan dipantau sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan.-Bernama

No comments

Powered by Blogger.