PR Perak kutuk serangan ganas terhadap gereja

Oleh Nor Ani Karma

ABU BAKAR IPOH – Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang dan cubaan membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life
Chapel di Damansara kelmarin.

Ketiga-tiga pimpinan tertinggi negeri iaitu Pesuruhjaya PAS, Abu Bakar Hussain (gambar) ; Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam tindakan ganas berkenaan.

MUSTAFFA KAMIL AYUB“PR Perak sangat kesal dengan kejadian itu kerana dalam keadaan rakyat Malaysia dan Perak yang cintakan kepada keamanan dan ketenteraman, perkara sedemikian boleh berlaku,” kata kenyataan bersama itu.

“Segala tindakan yang bertentangan dengan hasrat itu adalah amat dikesali dan kami membantah sekeras-kerasnya tindakan itu.”

Kata kenyataan itu, segala tindakan kekerasan yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia dan ajaran Islam itu sendiri mestilah ditangani dengan sebaik mungkin.

Mereka yang melakukan tindakan provokatif dengan cara ‘baling batu sorok tangan’ itu mestilah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

NGEH KOO HAM Tambah kenyataan itu, PR Perak berpendapat meja perundingan mesti didahulukan dengan semua pihak tidak mengira agama dan kaum perlu duduk bersama bagi menyelesaikan masalah ini.

Insiatif ini mesti diambil oleh pihak kerajaan selain pandangan semua pihak hendaklah diambil kira. “Kami yakin dengan tahap keamanan negara yang dicapai selama 52 tahun, mampu dikekalkan.”

Justeru, sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan mengganggu kenteraman awam mestilah ditentang oleh rakyat berbagai agama dan bangsa serta di semua peringkat umur dan tahap pendidikan.

PR Perak juga mengharapkan supaya segala langkah yang dilakukan oleh kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini diambil dengan secepat mungkin dengan mengambil kira semua aspek.

No comments

Powered by Blogger.