Program jarum percuma jadi punca


KOTA BHARU- Program pemberian jarum percuma kepada penagih dadah yang dijalankan oleh pihak tertentu menjadi antara punca peningkatan penghidap HIV di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Bekas-bekas Pengguna Dadah (Pengasih), Mohd Najib Harun berkata, program berkenaan perlu dimansuhkan kerana ia tidak mampu mengurangkan kadar notifikasi HIV sebaliknya mendorong kepada peningkatan jumlah penghidap.

“Tujuan asal pemberian jarum itu adalah untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah, namun apa yang berlaku sebaliknya apabila ia terus meningkat dan meletakkan Kelantan di tahap membimbangkan.

“Jadi lebih baik ia dimansuhkan daripada terus menjadi punca peningkatan ini dan juga penyumbang kepada kes-kes jenayah lain melibatkan penagih dadah yang semakin menular kini,” katanya kepada Sinar Harian.

Penghidap HIV di Kelantan dilaporkan amat membimbangkan apabila berada di tempat ketiga dengan jumlah peratusan 47 peratus mendahului Terengganu 29.6 peratus diikuti Pahang 21.6 peratus.

Mohd Najib berkata, dengan adanya jarum percuma itu, mereka (penagih) akan lebih agresif untuk mendapatkan sumber bekalan sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah meragut, pecah rumah dan lebih teruk lagi membunuh sebagaimana yang kerap dipaparkan hari ini.

Katanya, dengan peningkatan ini, di manakah rasionalnya program pemberian jarum percuma kepada penagih yang kononnya untuk mengurangkan jangkitan sedangkan hakikatnya kadarnya penghidap terus meningkat.

“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab membantu memulihkan golongan ini, kami mencadangkan pihak terbabit agar mempertimbangkan untuk memansuhkan program pemberian jarum percuma kepada penagih.

“Sebaliknya mencari alternatif lain yang lebih berkesan seperti memperbanyakkan kempen kesedaran dan juga rumah-rumah pertolongan untuk golongan berkenaan agar mereka dapat dipulihkan untuk kembali kepada masyarakat bukannya dengan bantuan jarum percuma,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.