Royalti: Ku Li akan berceramah di stadium 28 Januari

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 9 Jan: Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk menyampaikan ceramah berhubung royalti petroleum di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada 28 Januari ini yang dianjurkan oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar).

Menurut Penyelaras Unit Media Gegar, Mohd Hazwan Hussin, kesanggupan Ku Li telah disampaikan secara jelas pada pertemuan bersama empat orang ahli jawatan kuasa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, pertemuan yang berlangsung selama tiga jam dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bertujuan membicangkan Akta Kemajuan Petronas 1974, Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan Petronas, persempadanan laut dan lain-lain

“Pada pertemuan tersebut YBM Tengku Razaleigh bersetuju untuk hadir ke program Ceramah Royalti Petroleum pada hari Khamis, 28 Januari yang bermula jam 7 malam yang dimulakan dengan solat Maghrib, solat hajat dan solat Isyak berjemaah,” ujarnya.

Beliau berharap, ceramah itu akan menjadi satu petanda yang rakyat Kelantan bersatu teguh di belakang pimpinan kerajaan negeri dalam menuntut hak.

“Gegar juga berharap rakyat akan dapat mengenepikan fahaman politik kerana royalti ini bukannya milik sesebuah parti tetapi adalah milik mutlak rakyat Kelantan. Semua rakyat Kelantan dijemput hadir beramai-ramai untuk membuktikan bersatu teguh menuntut hak bersama,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.