Siapa Lebih Hebat Antara Koh Dengan Jamil Khir?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata buat masa ini belum ada keperluan segera untuk menubuhkan jawatankuasa antara agama atau etnik secara formal bagi membincangkan isu berbangkit.

Beliau berkata adalah lebih baik jika perbincangan sedemikian diadakan secara tidak rasmi dalam suasana santai agar setiap yang terlibat berasa selesa untuk mengeluarkan pandangan mereka.

"Dalam menggalakkan perbincangan antara agama dan antara etnik, kita mendapati perbincangan tidak formal lebih berkesan berbanding secara bermesyuarat yang terikat dengan struktur, menyebabkan pihak terlibat berasa tertekan serta mahu menyuarakan pandangan mereka dengan jelas, selain tidak dilakukan dengan hati dan minda yang terbuka.

"Oleh itu adalah lebih baik jika kita sembang-sembang sambil minum kopi sebab walaupun di warung mamak kadang-kadang lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan mesej tahun baru kepada warga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, di Putrajaya hari ini.

Malah, kata Koh, jika kerajaan mewujudkan struktur formal ia tidak akan dinamakan majlis atau sebarang terma yang tegar, sebaliknya mungkin sekadar berbentuk pasukan petugas.

Dalam isu berlainan, Koh berkata sebanyak 500 Rukun Tetangga (RT) baru ditubuhkan tahun lepas berbanding sasaran 300 pasukan, menjadikan jumlah keseluruhan 4,506 pasukan di seluruh negara dengan keanggotaan lebih 125,000 orang.

Kerajaan turut mensasarkan RT meliputi 70 peratus kawasan bandar dan pinggir bandar dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding 50 peratus sekarang, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkasakan keberkesanan RT dengan meningkatkan kemahiran komunikasi dan mediasi, bagi membolehkan anggotanya menyelesaikan pertikaian atau perbezaan pandangan pada kalangan masyarakat.

Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan unit khas di peringkat kebangsaan untuk perancangan dan penyelidikan berkenaan integrasi nasional, katanya.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.