Tebal sungguh kulit muka SPR!

Written by Faisal Mustaffa
Tuesday, 05 January 2010 18:55

Delegasi M’sia bagi memantau pilihan raya Uzbekistan sebenarnya tidak layak dan hanyalah sama seperti Sheikh Muzaffar yang diberi pengiktirafan sebagai ‘angkasawan’ sedangkan dia sebenarnya ‘pelancong angkasa’.


Semasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menghantar delegasinya ke pilihan raya umum Uzbekistan baru-baru ini, Timbalan Pengerusinya Wan Ahmad Wan Omar dengan tidak malu mengeluarkan kenyataan bahawa pemantauan delegasinya mendapati demokrasi didukung dengan amat baik di Uzbekistan.

Malah beliau menyatakan proses pilihan raya di negara itu mengikut piawai antarabangsa.

Bukan hanya di Uzbekistan yang diumumkan keputusan pilihan rayanya pada Dis 28, 2009 lalu sahaja. Wan Ahmad juga pernah dijemput untuk memantau pilihan raya di Kazakhstan, Krygyzstan, Mali, Nepal, Bosnia dan Indonesia.

Menurut laporan Bernama (Dis 29), pengerusi jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Uzbekistan M. Abdusalomov berkata pemerhati dijemput bagi memastikan “keterbukaan” pilihan raya itu. Malaysia dijemput sebagai pemantau pilihan raya mereka bersama kira-kira 270 pemerhati asing dari 36 negara. Mereka telah dijemput untuk memantau pilihan raya bagi anggota baru Majlis Oliy (sama seperti Dewan Rakyat di Malaysia) Uzbekistan.

Selain Wan Ahmad, pemerhati-pemerhati lain terdiri daripada S.Radhakrishnan, iaitu setiausaha kehormat Persatuan Undang-Undang Asean cawangan Malaysia; Presiden Perdasama Moehamad Izat Emir dan peguam kanan Kamarudin Ahmad.

Antara lain, Wan Ahmad melaporkan undi di Uzbekistan rahsia dan keduanya, ia “bebas dan mudah” iaitu pengundi bebas memilih calon pilihan mereka.

Perkara yang menggelikan ialah apabila Wan Ahmad melaporkan perjalanan pilihan raya tersebut dapat disaksikan pemerhati yang mewakili parti-parti politik supaya seluruh proses berlangsung dalam pengawasan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya itu.

Beliau mungkin tidak menyedari bahawa semasa proses pembuangan undi pos, pemerhati-pemerhati dari parti politik yang bertanding hanya boleh menyaksikan prosesnya 50 meter daripada tempat pembuangan.

Mujur Wan Ahmad mengakui Malaysia yang kononnya sudah menjalani pilihan raya sejak 1959 purata pengundian adalah hanya antara 73 dan 75 peratus manakala kadar peratusan pengundian di Uzbekistan yang mempunyai lebih 15 juta pemilih atau 87.8 peratus daripada 17 juta pemilih berdaftar menjalankan tanggungjawab mereka.

‘Pelancong’ Umno di Uzbekistan?

Delegasi Malaysia bagi memantau pilihan raya Uzbekistan sebenarnya tidak layak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana pemantauan mereka hanyalah kepada proses pembuangan undi. Ia sama seperti Sheikh Muzaffar yang diberi pengiktirafan sebagai angkasawan sedangkan dia hanyalah ‘pelancong angkasa’ (sebut: space tourist).

Proses pemerhatian Malaysia di Uzbekistan juga langsung tidak mematuhi peraturan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana sebagai pemerhati pilihan raya, delegasi tidak hanya melihat kepada proses pembuangan undi sahaja. Wan Ahmad juga tidak melihat cara pengiraan undi di Uzbekistan. Mungkin mereka ini juga boleh diklasifikasikan sebagai pelancong di Uzbekistan.

Berdasarkan kepada piawai antarabangsa, wajib mempunyai delegasi secukupnya dan tinggal dalam jangkamasa yang cukup panjang bagi memantau keseluruhan proses pilihan raya yang dijalankan sebelum mereka boleh diiktiraf sebagai pemerhati. Proses demokrasi dalam pilihan raya yang bebas dan adil mestilah melihat kepada seluruh aspek perjalanan prosesnya.

Keduanya ialah ada dakwaan (bukan dari penulis ini) bahawa separuh daripada delegasi yang dihantar sebagai pemantau di Uzbekistan ialah terdiri daripada ahli Umno dari kalangan kumpulan dewan perniagaan Melayu dan seorang peguam dengan ‘latar belakang politik’.

Sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut benar, maka mereka ini telah melanggar piawai antarabangsa PBB.

Boikot sahajalah

Semasa parti-parti politik alternatif menuntut agar SPR membenarkan pemantau antarabangsa untuk melihat sendiri proses pilihan raya di sini Mac 2008 lalu – berdasarkan Artikel 114 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan bahawa SPR mestilah “memberi keyakinan awam” – SPR dengan angkuhnya enggan membenarkan malah mencabar mereka untuk memboikot pilihanraya.

Lagi pun, semasa Umno berhadapan dengan cabaran terhebat pada tahun 1990 dahulu, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih berani untuk menjemput pemantau-pemantau dari Sekretariat Komanwel bagi memantau Pilihanraya Umum 1990.

Secara kesimpulannya, SPR khususnya Wan Ahmad selaku orang kedua terpenting di dalam suruhanjaya itu perlulah melihat muka mereka ke cermin. Jangan beritahu bahawa mereka sudah melantik Mafrel sebagai pemantau rasmi, maka pilihan raya yang mereka jalankan mengikut lunas demokrasi.

Apa yang mereka patut lakukan ialah untuk menolak pelawaan Uzbekistan dengan alasan pilihan raya di Malaysia di bawah SPR tidak ada pemantau dan tidak membenarkan pemantau, jadi kita tidak sepatutnya menjadi pemantau di negara lain.

No comments

Powered by Blogger.