Tuan Ibrahim: CC PAS bincang isu gereja dibakar esok

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 9 — PAS dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung pendirian rasminya mengutuk keras serangan ke atas empat gereja di Lembah Klang, dan agar diadakan dialog melibatkan masyarakat pelbagai agama bagi membincangkan isu-isu sensitif semasa.

Parti itu telah mengeluarkan pendirian rasminya ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah” Isnin lalu.

PAS juga sudah pun menyatakan pendiriannya mengutuk serangan itu semalam.

Petang tadi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawat gereja di Desa Melawati yang menjadi sasaran serangan bom api tengah malam kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga petang tadi.

“Saya fikir parti (PAS) akan membincangkan isu ini dan menggunakan satu kenyataan rasmi, kenyataan yang tegas mengutuk kejadian yang berlaku,” kata naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui The Malaysian Insider di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam selain Gereja Assumption dan Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur menjadi sasaran serangan koktel molotov.

Bagaimanapun, lontaran koktel molotov ke atas Gereja Metro Tabernacle menyebakan letupan disusuli kebakaran.

Satu lagi gereja menjadi sasaran serangan - yang keempat di Lembah Klang sejak tengah malam kelmarin tetapi premis terbaru ini hanya mengalami kerosakan kecil.

Gereja terbaru yang tersenarai dalam serangan pihak bertanggungjawab ialah Good Shepherd Lutheran Church.

Pengurusan gereja berkata bangunan gereja ini yang terletak di Petaling Jaya Old Town dipercayai dibaling dengan bom api antara malam tadi dan pagi ini.

Tuan Ibrahim yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin berkata “kita melahirkan rasa duka cita dengan tragedi ini sebab ia bercanggah dengan dasar Islam.”

“Kami juga bimbang di sebalik isu ini ada tangan lain yang cuba mengeruhkan keadaan, cuba mewujudkan suasana gawat.

“Kita harap pihak polis akan membuat siasatan segera dan ambil tindakan segera,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah PAS juga duka cita dengan tindakan ‘kebenaran’ yang diberikan untuk mengadakan protes dan demonstrasi kerana agama dan kaum adalah isu sensitif yang hanya boleh diselesaikan menerusi dialog.

Begitu juga isu apabila perkataan “Islam” diminta digugurkan dari nama parti politik lebih satu dekad lalu, kata beliau.

“Kita minta Majlis Raja-Raja Melayu menyelesaikan isu berkenaan.

“Oleh itu saya bersetuju dengan pandangan (bekas perdana menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa dialog adalah cara untuk menyelesaikan apa jua masalah,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri berkaitan isu melemparkan bom api dan pembakaran gereja bertajuk “jangan menuding jari pada Umno”.

“Saya menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan betapa Perdana Menteri menyedari bahawa Umno-BN sedang dibicarakan oleh mahkamah rakyat dan meletakkan parti dan pimpinan Umno di kandang orang salah.

“Perbicaraan di mahkamah rakyat menggambarkan Umno sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi,” katanya.

Kata beliau, rakyat menuding jari pada Umno dan pemimpinnya adalah berasaskan sikap pemimpin Umno yang rasis.

Sambil merujuk kepada kenyataan dan peristiwa-peristiwa sebelum ini kata Mahfuz, beliau mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.

“Umno ingat dia boleh gunakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian untuk tujuan politik murahan.

“Tapi jelas senjata makan tuan, rakyat tidak lagi mempercayaai Umno. Inilah petanda Umno-BN telah kehabisan dan kehilangan hak untuk memerintah negara,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.