Usaha atasi isu kalimah cukup

Oleh Hussain Said dan Rohaniza Idris
bminggu@bharian.com.my

BUKIT BERUNTUNG: Kerajaan belum bercadang membawa isu kalimah ‘Allah’ ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan kerana yakin Raja-Raja memahami kedudukan dan tindakan yang sudah diambil untuk menangani isu berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Raja-Raja sudah tentu mengharapkan isu itu diselesaikan dengan baik mengikut lunas undang-undang dan atas dasar menghormati antara satu sama lain.

“Setakat ini, tidak perlu (dibincangkan Majlis Raja-Raja) tapi kita tengok perkembangannya, sebab Raja-Raja faham kedudukan masa ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Juara Rakyat anjuran Umno di Bandar Bukit Sentosa di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Naib Presiden Umno; Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Presiden Umno mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara kelmarin, Seri Paduka yang memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum.

Sebelum ini, pelbagai pihak meminta campur tangan Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 6 Januari lalu membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berhubung penggunaan kalimah itu sementara menunggu rayuan kes itu.

Najib juga berkata, kerajaan belum bercadang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani kejadian membakar gereja, sebaliknya yakin undang-undang sedia ada cukup untuk menghukum mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Beliau berkata, apa yang penting ialah untuk mendapatkan bukti dan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati terbakar apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja itu, tetapi tiga lagi iaitu Gereja Assumption di Petaling Jaya; Gereja Life Chapel di Damansara dan Gereja Good Shepherd Lutheran di Jalan Othman, Petaling Jaya tidak terjejas apabila bom petrol yang dilemparkan suspek tidak meletup.


cakap lain buat lain

No comments

Powered by Blogger.