Blogger menghina Sultan Johor: Apa sebenarnya berlaku?

Written by Faisal Mustaffa
Tuesday, 02 February 2010 22:51

Media perdana di bawah kongkongan dan telunjuk parti politik selalunya mempunyai agenda tersendiri dalam menjalankan propaganda. Ada ketikanya, media-media ini digunakan untuk memutar-belit keadaan agar para pembaca mendapat gambaran yang berbeza.

Baru-baru ini seorang penulis blog yang dikenali sebagai Aduka Taruna melalui blognya adukataruna.blogspot.com telah didakwa menghina Almarhum Sultan Iskandar Shah selepas pihak istana mengumumkan kemangkatan Almarhum.

Aduka Taruna, 28, telah memblog tentang kemangkatan Almarhum di bawah tajuk ‘Dah mampos buat cara mampos la’.

Bagi menanam kebencian terhadap penulis-penulis blog yang bersifat kritikal seperti Aduka Taruna, Berita Harian memulakan propaganda.

Menurut laporan Jan 26, 2010 akhbar tersebut yang bertajuk ‘Penulis blog hina Almarhum Sultan Iskandar ditahan’, wartawan Azida Shaharuddin menceritakan bagaimana Aduka Taruna menyembunyikan diri selama dua hari dan akhirnya polis berjaya menahan beliau.

Bercakap mengenai tahap profesionalisme, wartawan media perdana berada pada tangga yang bawah kerana gagal (sebut: tiada etika) dalam mengesahkan berita yang dilaporkan. Barangkali tugasan-tugasan yang menimbun memberi kekangan kepada wartawan-wartawan ini dalam melaporkan fakta tetapi adakah itu alasan yang boleh diterima?

Sebagai contoh ketidaktepatan laporan: Di dalam kes yang sama, Berita Harian melaporkan bahawa Aduka Taruna ditahan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Fakta sebenarnya ialah Aduka Taruna dibawa keluar dari IPD Kota Bharu untuk dihantar ke Bukit Aman dengan menaiki kereta Waja diiringi oleh tiga orang pegawai polis.

Aduka Taruna menyerah diri

Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah, siapakah yang dimaksudkan wartawan yang pada waktu itu ditahan di IPD Muar?

Berkemungkinan Azida boleh mempertahankan tahap profesionalismenya dengan mengatakan beliau mendapat maklumat dari Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang memberitahu lelaki terbabit akan dibawa ke IPD Muar kerana laporan awal yang dibuat terhadapnya, diterima IPD berkenaan.

Tetapi ini bukan bermakna Aduka Taruna ditahan di IPD yang sama.

Banyak juga laporan media massa arus perdana; tidak pasti secara sengaja atau pun tidak sengaja memburuk-burukkan pihak yang terbabit. Laporan menyatakan bahawa Aduka Taruna ditangkap tetapi sebenarnya beliau pergi sendiri dengan rela hati dan berani menyerah diri kepada pihak berkuasa polis dalam memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.

Tindakan media seperti ini dianggap amat menjatuhkan maruah beliau (serta keluarga) dan cara laporan seolah-olah Aduka Taruna ini penjenayah – diburu, ditangkap dan disoalsiasat.

Perkara sebeginilah membawa keluarga Aduka Taruna, yang dikira dari golongan berada terpaksa membuat keputusan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap media massa yang menjatuhkan maruah mereka.

Contoh putar belit media perdana

Azida dan Berita Harian juga berniat jahat dengan mengatakan penulis blog terbabit menerima lebih 1,000 komen susulan kenyataan itu, dengan sebahagian besarnya menyatakan rasa tidak puas hati dan ada yang mengugut untuk membunuhnya.

Saya telah meneliti blog Aduka Taruna dan rencana kemudiannya ‘Permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia’ yang menerima 761 komen bermula jam 4.56 petang, Jan 26, 2010. Daripada jumlah itu pula, tidak semuanya yang mengeji tindakan Aduka Taruna menghina Sultan.

Sebenarnya ada yang memuji tindakan berani penulis blog tersebut.

Inilah yang dikatakan berita yang sengaja diperbesar-besarkan. Sudah pasti wartawan Berita Harian ini mengetahui bukan rata-rata orang yang memberi komen telah mengutuk si blogger itu.

Sikap wartawan sebegini memang bahaya terutama sekali apabila ianya boleh menimbulkan kemarahan terutama dalam membicangkan isu-isu sensitif seperti ini. Perbuatan wartawan seperti Azida ini perlu diperhatikan gerak-gerinya; berkemungkinan beliau menulis laporan atas kepentingan tertentu.

Ada kemungkinan juga penyunting yang dipersalahkan. Ada kes di mana kandungan laporan sesebuah berita itu diubah sehingga menukar secara total keadaan sebenar berlaku hanya kerana untuk ‘melariskan’ akhbar berkenaan atau menyebar propaganda – juga atas kepentingan tertentu.

Akhbar-akhbar media perdana harus sedar akan kebebasan media yang diberikan di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Menurut Artikel 19 deklarasi yang juga dipersetujui oleh Malaysia, setiap manusia berhak kepada kebebasan memberi pendapat dan bersuara termasuk kebebasan dalam memegang pendapat mereka, tanpa gangguan dalam mendapat, menerima dan memberi maklumat melalui sebarang media tanpa sekatan.

Oleh yang demikian, media memainkan peranan penting kepada setiap insan yang mencari maklumat sebagai hak asasi mereka.

Sekiranya ia diputar-belitkan dengan sengaja, ia telah memberi keraguan melampau sehingga interpretasi situasi menjadi berbeza sehingga tindakan yang dijalankan selepas itu mungkin tidak selaras dengan keadaan sebenar berlaku.

No comments

Powered by Blogger.