Rasuah Masih Berlonyang...

Oleh Azizi Hj Abdullah

Kata Pak Kasim yang selalu belutin selut di kaki teruja; “Laaa, pasal rasuah lagi?” Pak Kasim baru naik dari bendang. Belutin betis dan kaki biasalah. Tapi kali itu, bila Pak Kasim singgah di warong kopi Simpang Tiga, hairannya tentang percakapan rasuah, lebih dari dia garu panau celah ketiak.

Pak Kasim orang yang kuat baca surat khabar, sampai nombor ekur empat digit dan iklan minyak lintah habis dibacanya. Tapi kali ini dia hairan pasal ada lagi perbincangan tentang rasuah dan salah satunya dari NKRA (Makmal Keberhasilan Utama Negara)



“Tak habis-habis. Rasuah ni dah lama melonyang, dah lama belutin tapi masih tak berjaya nak ceruak, nak tonyoh atau nak cuci,” Pak Kasim merungut sambil memesan kopi O secawan, pulut inti sekepal. Surat khabar sudah lama di pegangnya.

Memanglah baru-baru ini parti politik digesa supaya menggubal satu akta bagi membendung gejala rasuah di kalangan anggota politik negara. Datuk Hisham Nordin, Ketua NKRA bagi memerangi rasuah berkata, ia perlu bagi mengelak perbuatan tidak bermoral daripada berleluasa.

“Laaaa...aukkkk,” Pak Kasim sendawa. “Kenapa parti politik, tidak kerajaan, tidak bahagian perundangan, tidak kabinet, tidak Parlimen?” Pak Kasim haram tidak tahu fungsi yang disebut terhadap pelaksanaan penggubalan akta.

Mungkin yang lain dari Pak Kasim, seperti YB yang suka melompat sudah tahu bagaimana Badan Pencegah Rasuah (BPR) dulu sudah menyiapkan draf meminta Seksyen 32 Akta Pencegahan Rasuah 1997. Kononnya, pindaan itu akan memboleh BPR menghendaki individu mengisytiharkan harta apabila mendapat maklumat seseorang penjawat awam memiliki harta lebih daripada pendapatannya.

Jadi apa masalahnya? Pak Kasim tak tahu apapun. Dia hirup kopi O sampai habis.

Dengan cadangan itu, ramai orang anggap ia adalah proaktif.

Tapi beberapa peroalan timbul pula. Tindakan tidak hanya dikait dengan kakitangan awam, tidak kerani mesin ptostat atau penghantar surat atau wakil rakyat yang boleh dibeli dan diugut, Anggota Badan Eksekutif juga mesti dianggap sama, termasuk PM,TPM, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan paus-paus, kerabat. Pendeknya bukan kaki cokia surat khabar lama.

Bab ini BPR ternganga...hingga sekarang bertukar kepada SPRM, melopong mulut. Boria Pulau Pinang melalui tukang karut pun bergencok sakan.

Kerana ia hanya akta yang tercatat di atas kertas, maka kes Perwaja, bla-bla-bla. Kes Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, herot penyot, melelong-linglong. Kononnya...ehhh bukan kononlah, memang betul walaupun tidak benar bahawa kuasa mendakwa seorang individu tidak boleh dilakukan oleh Pengarah BPR atau sekarang SPRM. Kuasa dan maha berkuasa dan mahu atau tidak dan lojik atau karut dan sesuai atau hancai dan pilih bulu atau duri, terpilih atau diayak-ayak, semuanya terletak dihujung mata pena Peguam Negara.

Ya bedak-beduk...terbeber mulut Pak Kasim. Betul ke?

Sebab itu puak-puak yang tak setuju dengan Mahathir dulu berhempas pulas mahu dakwa Rafidah kerana ada ‘prima facie’. Tapi apa mereka boleh buat. Peguam Negara muncung mulut, facie tak facie bukan soal pokok. Kebenaran dan keadilan zaman sekarang bergantung kepada ‘mau atau tidak mau dulu’ untuk dibicara. Ulul Albab politik demokrasi sekarang Menteri Perdanalah yang paling berkuasa. Kerana itu, cari nahaslah bagi mereka yang cuba nak ‘strict’ dengan kuasa.

Pengertian Rasuah dari SPRM yang dikemas kini terakhir pada 14 September 2009 ialah mana-mana orang/ejen secarar reasuah meminta/menerima wang/benda/perkhidmatan (teringat suapan seks wakil rakyat Perak) atau mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan/kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan....

Soalnya sekarang, susah sangatkah nak menghapuskan kelakuan busuk hanyir, meloya bengit ini? Tanya Pak Kasim atau orang kampung. Mereka akan jawab, tak susah. Soalnya mahu atau tidak. Pertama puncak kuasa yang menentukan ya atau tidak hendak didakwa, iaitu Peguam Negara.

Saya teringat satu tulisan (lupa di mana tempat siarnya) Datuk Hasan Ahmad mantan Pengarah DBP dulu. Katanya, kalau belanja lebih dari pendapatan, rasuahlah namanya. Ertinya mana-mana si MP atau YB atau MB ini ambil duit, kalau sebulan gajinya RM20,000, setahun RM240,000 lalu dia mampu dirikan rumah RM24 juta dalam masa tiga tahun...apakah jadah namanya?

Bukankah senang kalau kaedah ini digunapakai? Bukankah kita sudah ada peraturan isytihar semua harta apabila jadi menteri? Yang siasat sana sini, buka akaun sana, kelebek akaun sini bukankah buang masa? Takkan MB,MP, PM. TPM main ekur atau Sport Toto buat rumah atau main ‘Gores dan Menang’ dapat kereta lebih RM2 juta?

Rasuah sebenarnya dilihat dengan serius hanyalah pihak pembangkang dan orang yang benar-benar zuhud sahaja. Lain dari itu tak payah cakap. Atas sifat manusia, selalu dia boleh celah, dia akan celah. Orang sekarang takut rasuah bukan kerana hukum agama atau dosa tapi takut rasuah sebab takut kena tangkap.

Untuk apa hal-hal rasuah di akhirat nanti diungkit atau dibicarakan dan untuk apa duit-duit rasuah itu nak dirampas. Bukankah di sana duit dan harta yang dirampas itu tidak ada nilainya. Maka kerana itu mereka yang tak bermaruah tak peduli tentang akhirat.

Tapi itulah...kita tak serius. NKRA yang memebentang hasil makmal NKRA memerangi rasuah pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) nampaknya macam tidak nampak atau tak terbaca atau sengaja, bagaimana pentingnya peranan Peguam Negara memain peranan hanya ‘angguk’ sahaja terhadap kes rasuah ini.

Kita rasa yang menyebabkan kes tertonggak, kes tersangkut dan prima facie atau tidak pokok pangkalnya di tangan Peguam Negara. Kita tidak mahu mendesak melulu supaya ‘katakanlah’ bahawa dia rasuah, jatuhkan hukuman dia rasuah sama ada buruk sangka atau dendam atau kerana tak berkenan secara pribadi. Kita mahu sekadar membuka pintu mahkamah untuk melihat sejauh mana kebenaran dan kebatilan. Itu saja.

Cubalah kalau seperti NKRA, SPRM, SPR, Majlis Peguam, GTP dan lain-lain badan NGO pakat-pakat buat seminar ke, simposium ke, atau apa-apa yang boleh dibuat rumusan, desakan, memorendum tentang Peguam Negara, betapa penting dan perlu setiap kes yang ada prima facie ini jangan lagi ditangguh-tangguh, dicuai-cuai, dibiar-biar, di abai-abai, dilonglai-longlai atau pun ditutup failnya kerana kes itu kes....bla...bla...bla.

-Nota bene (Latin); Adinda jangan risau...itu undang-undang kanda yang bikin. (Petikan dari filem Musang Berjanggot)

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.