Politik Hilang Maruah Di Sabah

Oleh Musli oli

Politik kerap dikaitkan dengan kotor, penipuan, janji palsu, pembohongan malah ada yang sampai keperingkat membunuh kerana politik. Umumnya demikianlah persepsi sesetengah anggota masyarakat bila sepak terajang politik dalam negara mula menjijik dan memualkan!

Perkembangan terbaru politik tanah air khususnya di negeri Sabah, mengesahkan persepsi umum betapa hodoh, jijik dan kotornya permainan politik. Benarlah kata Machiavelli, politik boleh menghalalkan cara, the ends justifies the means. Pokok pangkalnya ialah kuasa dan bagaimana cara mengekalkan kuasa tersebut.

Siakap Senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Lama-lama jadi MENTERI

Secara khusus saya mengajak pembaca melihat apa yang berlaku di Sabah. Sejak awal merdeka telah berlaku perebutan kuasa antara dua puak majoriti, bumiputra Islam (BI) dan bumiputera bukan Islam (BBI). Akibat persaingan kuasa tersebut, parti politik yang memerintah telah beberapa kali bertukar ganti.

1963-1967 Parti Perikatan (UPKO, USNO dan SCA (KM - Donald Stephens - UPKO)

1967-1976 Parti Perikatan (USNO dan SCA) (KM - Tun Mustapha – USNO)

1976-1985 parti BERJAYA (KM – Datuk Harris Salleh)

1985-1994 parti PBS (KM – Datuk Joseph Pairin Kitingan)

1994- hingga sekarang - Barisan Nasional (KM - 7 orang)

Kenapa berlaku perubahan kerajaan yang begitu kerap di Sabah?

Para penganalisis politik sependapat, factor utama bila hilangnya sokongan kaum Cina. Sudah tentu banyak faktor lain, namun pengundi Cina sebagai “king maker” telah terbukti dalam PRU 1967, 1976, 1985, dan 1994.

Bekas PM, Tun Mahathir adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa UMNO masuk ke Sabah. Tun Mahathir juga pernah dimalukan rakyat Sabah bila ayatnya “sink and swim with Berjaya” gagal selamatkan kerajaan BN pimpinan Berjaya pada 1985. Atas sebab itu Tun Mahathir sedar betapa perlunya sokongan pengundi Cina di Sabah!

Maka itu diperkenalkan Dasar Menggilirkan jawatan KM Sabah setiap dua tahun untuk kaum BI, BBI dan kaum Cina. Walaupun kaum Cina adalah kaum yang minoriti dan hanya mewakili 8 kerusi DUN, dan 4 kerusi MP serta tidak terlibat dalam perebutan kuasa, namun Tun Mahathir tahu akibatnya bila sokongan kaum itu tidak lagi bersama-sama BN.

Matlamat pokok dasar penggiliran KM Sabah adalah untuk memenangi hati dan ‘trust’ kaum itu untuk terus bersama BN. Sepanjang pemerintahan BN dibawah Tun Mahathir, kaum Cina berpeluang menjawat KM Sabah sebanyak dua kali. Datuk Yong Teck Lee dari SAPP (2 tahun 1996-1998) dan Tan Sri Chong Kah Kiat dari LDP (2 tahun 2001-2003).

Persoalan besar timbul apakah setelah parti SAPP keluar dari BN dan parti LDP secara terbuka tidak menyokong KM Sabah, Datuk Seri Musa Aman, BN Sabah masih mendapat sokongan kaum itu?

Musa Aman adalah seorang pemimpin yang paling beruntung kerana setelah tiba gilirannya menjadi KM, menggantikan Chong Kah Kiat, Dasar Penggiliran dimansuhkan PM baru Tun Abdullah Badawi yang menggantikan Tun Mahathir.

Genap 7 tahun sebagai KM Sabah, Musa Aman dilihat sebagai KM Sabah yang paling berkuasa era pasca UMNO. Namun sepanjang pemerintahannya, Musa kelihatan bermusuh dengan tokoh-tokoh politik kaum Cina yang berpengaruh di Sabah!

Perletakan jawatan Chong Kah Kiat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah berikutan isu patung Dewa Mazu dikatakan berpunca daripada "gentleman agreement" yang tidak ditunai Musa Aman. Pada awalnya Musa setuju pembinaan patung itu di Kudat tetapi kemudiannya mengarah kelulusan itu ditarik balik setelah berlaku insiden di Pulau Sipadan.

Seterusnya Yong Teck Lee, satu-satunya Presiden parti komponen BN Sabah yang tidak dipilih sebagai calon pada PRU 2008 meninggalkan BN berikutan janji jawatan Senator tidak dipenuhi Musa dan Tun Abdullah Badawi. DUN Sabah yang bersidang tidak mencadangkan nama Yong Teck Lee sebagai senator tetapi Musa mencadangkan nama lain.

Pada 25 Ogos 2010, sehari selepas BN Sabah mengadakan mesyuarat, Timbalan Presiden LDP secara terbuka mengeluarkan kenyataan tidak menyokong Musa Aman. Parti itu bagaimanapun tetap menyokong BN dan PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan kemelutnya dengan SAPP dan LDP, dengan liciknya, Musa kekalkan dua pemimpin dari SAPP dan LDP, Datuk Raymond Tan dan Peter Pang dalam kabinet negeri Sabah setelah kedua-duanya menyatakan kesetiaan kepada Musa Aman. Kedua-dua “katak” sanggup berbuat begitu atas kepentingan peribadi dan kini telah menyertai parti GERAKAN.

Dua pemimpin yang tidak ada etika dan prinsip tersebut kekal dalam BN dan menjadi menteri dan timbalan ketua menteri semata-mata kerana Musa Aman ingin kekal sebagai KM Sabah yang paling berkuasa!

Apakah majority kaum Cina di Sabah menyokong tindakan Musa Aman dan terus mengundi BN pada PRU akan datang?

Dalam persidangan DUN Sabah baru-baru ini, wakil tunggal DAP telah mengeluarkan kata-kata kesat dan memanggil Musa Aman sebagai “vacuum cleaner”.

Jika tokoh seperti Chong Kah Kiat, parti LDP, Yong Teck Lee, parti SAPP dan kaum Cina di Sabah tidak lagi menyokong Musa Aman, apakah BN Sabah masih kekal sebagai FIXED DEPOSIT kepada Barisan Nasional?

http://muslioli.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.