Paul Jones duta baru AS ke Malaysia mula tugas Selasa

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Duta baru Amerika Syarikat ke Malaysia Paul W. Jones akan melaporkan diri untuk bertugas pada 14 Sept.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Setiausaha Negara Amerika Hillary Rodham Clinton hari ini setelah dicalonkan Presiden Barack Obama pada 12 Julai dan disahkan oleh Senat Amerika pada 5 Ogos.

Dalam kenyataan hari ini, Kedutaan Amerika di sini berkata sebelum berkhidmat di negara ini, Jones adalah Timbalan Wakil Khas bagi Afghanistan dan Pakistan merangkap Timbalan Setiausaha Negara Amerika.

Beliau juga pernah diberi pelbagai tugas mencabar di Asia, Eropah dan Amerika Latin.

Dari September 2005 hingga Februari tahun lepas, beliau menyandang jawatan Timbalan Ketua Perwakilan dan Kuasa Usaha Tetap di Filipina, yang bertanggungjawab menyelaraskan 30 agensi kerajaan Amerika dalam melaksanakan program menentang keganasan, mengurangkan kemiskinan dan membangunkan perniagaan.

Jones adalah lulusan Cornell University dan memiliki ijazah sarjana daripada University of Virginia dan Naval War College. Beliau juga pernah mengikuti latihan di Senior Seminar, Jabatan Negara Amerika.

Antara anugerah yang diterimanya ialah Presidential Meritorious Service Award, Robert C. Frasure Memorial Award bagi pemupukan keamanan dan Superior Honor Awards.

Jones mendirikan rumah tangga dengan Catherine Jones dan dikurniakan dua anak. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.