Ahli kongsi gelap paling dikehendaki ditembak mati

Seorang ahli kongsi gelap yang paling kehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa kes peras ugut, terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Taman Rozhan, Alma di Bukit Mertajam, malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata lelaki berusia 37 tahun dan berasal dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah itu mati dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu.

"Kejadian tembak-menembak itu berlaku sebaik sepasukan anggota polis dari cawangan jenayah berat (D9) Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang yang diketuai ASP Khairil Sofian yang mendapat maklumat mengenai lelaki terbabit, cuba menahannya di Taman Rozhan.

"Bagaimanapun lelaki yang sedang memandu kereta jenis BMW warna putih itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum anggota kita membalas dan mengenai mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya tembakan yang dilepaskan polis mengenai lelaki itu menyebabkan dia gagal mengawal keretanya dan merempuh pagar simen sebuah rumah di Taman Rozhan,
sebelum mati akibat kecederaan parah.

"Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk revolver .38 yang berisi tiga butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru yang telah digunakan," katanya.

Wan Abdullah berkata lelaki yang bekerja sambilan sebagai penarik kereta itu turut mempunyai 13 kesalahan jenayah lampau termasuk tiga kali ditahan di Simpang Renggam kerana aktiviti jenayah kekerasan.

"Siasatan juga mendapati lelaki yang memang dikehendaki polis berhubung beberapa kegiatan jenayah antaranya ugutan sambil menunjukkan pistol dan meminta wang perlindungan itu turut mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.

"Kita percaya dia mempunyai kaitan dengan sindiket dadah bernilai RM3 juta dan enam pucuk pistol yang ditemui dalam serbuan ke atas premis makmal dadah di Teluk Bahang pada 23 September lalu," katanya.

Wan Abdullah berkata lelaki itu melakukan jenayah secara terbuka tanpa rasa takut identitinya dikenali ramai dan sentiasa menggunakan kereta yang sama setiap kali memeras ugut mangsanya.

Katanya terbaru, pada Isnin lalu lelaki terbabit telah pergi ke sebuah rumah di Taman Teik Hwa di Bukit Mertajam dan mengugut seorang anak mangsa supaya memberitahu bapanya yang tiada di rumah ketika itu, agar memberi wang RM10,000 jika mahu keluarga mereka selamat.

"Lelaki terbabit juga bertindak menunjukkan pistol kepada anak mangsa sebelum bertindak menghubungi mangsa (bapa) untuk meminta wang. Mangsa yang bimbang akan keselamatan keluarganya membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki geng lelaki terbabit dan polis percaya dia anggota geng kongsi gelap.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.