Badan Buddha gesa kerajaan siasat kenyataan ‘King Kong’ ustaz

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2010/october/07/1007annwanseng.jpg
Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Pemimpin-pemimpin agama Buddha menggesa pihak berkuasa menyiasat seorang pendakwah Muslim keturunan Cina yang popular didakwa mempersendakan agama Buddha dan kepercayaan kaum Tionghoa dalam satu rakaman video disiarkan menerusi YouTube, menggunakan kata-kata “King Kong”.

Klip itu turut tersebar luas menerusi blog-blog politik tempatan dilihat sebagai respons kepada kritikan kerajaan terhadap seorang paderi yang didakwa menghina Islam, yang turut disiarkan menerusi YouTube, yang disebarkan enam tahun lalu tetapi muncul semula baru-baru ini.

Dengan tajuk “Dialog bekas penganut Buddha”, rakaman video itu menunjukkan rakaman mesej Ann Wan Seng (gambar), seorang penganut Buddha yang kemudian memeluk Islam.

Dia juga merupakan anggota Perkim, sebuah badan kebajikan Islam, yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Subang Jaya Chim Siew Choon berkata, beliau kecewa apabila menonton kandungan rakaman video itu baru-baru ini.

“Pihak berkuasa seharusnya melihat perkara-perkara seperti ini. Ia sangat tidak sihat. Perkara-perkara macam ini mencetuskan suasana tidak harmoni,” kata beliau.

Chim berkata mana-mana penganut Buddha yang memeluk Islam kemudian memang mempunyai hak untuk mengulas agama lain tetapi mesej yang disampaikan dengan menghina agama asal dan kepercayaan masyarakat Cina adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

“Dia kelihatan terkeliru. Mengapa bawa masuk Tua Pek Kong dan Pau Kong? Ia tidak kaitan dengan agama Buddha,” kata beliau.

Chim menambah, tindakan yang disampaikannya itu menunjukkan dia mempunyai pengetahuan cetek tentang Buddha dan kepercayaan orang Cina.

Sek Chin Yong, dari Persatuan Penganut Muda Buddha Malaysia (YBAM) bersetuju dengan gesaan Chim agar pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut.

“Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan menyiasat sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

“Kita tidak perlu kecewa hanya kerana dia mengarut. Kami tidak mahu jatuh dalam perangkap dia,” kata Sek yang turut mempersoalkan motif pihak yang memuatkan rakaman video itu dalam Youtube.

“Ann sebagai seorang Muslim tidak harus mecerca agama lain. Sebagai seorang Cina dia seharusnya menggalakkan nilai-nilai baik bersama untuk dua kumpulan yang berbeza ini memahami antara satu sama lain, bukannya menyebabkan umat Islam atau Melayu memperkecilkan kepercayaan dan kebudayaan Cina,” katanya lagi.

Beliau menambah, menghina atau memperkecilkan agama lain menunjukkan dia sendiri bukan seorang pendakwah yang baik.

“Ia juga bukan ajaran mana-mana agama,” kata Sek.

Setiausaha YBAM itu juga berkata, beliau merasakan tidak perlu membuat laporan polis untuk diadakan siasatan, sebaliknya meminta penganut Buddha jangan beremosi.

“Secara peribadi saya tidak terasa terhina. Mengapa perlu saya marah atau kecewa dengan apa yang dia kata dalam video? Dia tidak betul,” kata Sek lagi.

Akhir bulan lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.

Dua hari selepas itu, Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung berkata kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menghina mana-mana agama dan jika dibiarkan, perbuatan itu boleh mengugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pemimpin pelbagai agama di negara ini perlu kerap mengadakan perbincangan menerusi Jawatankuasa Antara Agama bagi menjamin keharmonian yang dinikmati selama ini.

No comments

Powered by Blogger.