Bajet pinggir siswa, kebejatan sosial tanpa penghujung

Oleh Persadakini

Dengan segala masalah sosial yang kritikal melanda masyarakat sekarang, saya mewakili suara dan pandangan anak muda mahasiswa, amat geram, kecewa, sedih dan marah bila mana beberapa orang pimpinan kerajaan dan parti politik, membuat kenyataan membantah konsert Adam Lambert yang mana ianya dipandang sebagai suatu tindakan yang ekstrim.

Bukanlah hanya kerana ianya datang dari mulut pimpinan Barisan Nasional, akan tetapi ianya lebih menyedihkan bila mana ianya keluar dari mulut salah seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sendiri.


Demostrasi secara aman tersebut yang disertai Dewan Pemuda PAS Pusat dengan penyertaan ahli-ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), yang mewakili mahasiswa dari pelbagai kampus, adalah bagi membuka minda masyarakat, betapa penerapan dan pengaruh nilai-nilai budaya songsang yang sememangnya wajib dibendung. Jika tidak dibendung, dikhuatiri dan amat dibimbangi ianya akan melarat seterusnya menjadi ikutan dan budaya masyarakat kita pula. Sebelum ianya membarah dalam masyarakat, biarlah ianya dicegah sebelum terlambat.

Saya tidak mahu memfokuskan sama ada Pemuda Pas atau Pemuda Umno sekalipun yang membuat bantahan terhadap konsert tersebut, sudah semestinya sebagai mahasiswa yang boleh berfikir secara matang, akan menyokong sepenuhnya bantahan tersebut, kerana dengan penganjuran konsert tersebut, ianya sebenarnya lebih membuka ruang ke arah keburukan berbanding kebaikan. Jika tidak, mana mungkin mahasiswa yang berada bawah payungan GAMIS mahu menyertai bantahan tersebut secara konsisten, dengan penyerahan memo sebelum ini dan sebagainya, berkaitan dengan konsert ini.

Agak kurang bijak bagi seorang yang ‘menjaga’ hal ehwal kementerian pelajaran, bertindak mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Beliau menyatakan bantahan konsert Adam Lambert ini menjadikan PAS sebuah parti ekstrim. Menolak dan mengekang budaya serta budata ‘gay’ dikatakan ekstrim? Lihatlah dan nilailah sendiri mentaliti seorang timbalan menteri pelajaran di negara kita. Inikah yang kita harapkan untuk membentuk dan menjaga sistem pendidikan di negara ini??

Ya, mungkin beliau mengeluarkan kenyataan tersebut atas kapasiti beliau sebagai pimpinan Pemuda MCA, namun perlu diingat kesan kenyataan yang keluar dari beliau itu datangnya dari batang tubuh seorang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada masa yang sama, bukannya beliau dari kementerian kebudayaan dan kesenian sebagai contohnya. Sedangkan jika kita fahami, ini bukanlah masalah yang melibatkan parti politik semata-mata, akan tetapi ianya masalah masyarakat dan negara.

Kita mahu generasi anak muda kita, tidak terpengaruh dengan anasir-anasir barat seperti itu. Setiap agama juga menekankan kepentingan menjaga adab dan moral dalam penghayatan agama masing-masing. Kita mahu anak muda dan belia mempunyai jati diri, berakhlak, bermoral tinggi, dan bukannya mengambil contoh teladan dari mana-mana personaliti luar negara yang mengamalkan gaya hidup dan norma yang songsang.

Cukuplah dengan masalah pembuangan bayi yang makin membarah, gengsterisme perkauman, meragut, merogol, merompak dan membunuh, yang sudah melanda negara kini. Jangan ditambah lagi penyakit masyarakat bila mana kerajaan sendiri yang menyediakan medium dan ruang yang banyak ke arah kebejatan sosial tersebut.

Mahasiswa menuntut kerajaan memandang serius perkara ini, jangan dibuat atas kepentingan politik pihak-pihak tertentu sahaja! Sudahlah PTPTN dan AUKU yang masih menghantui mahasiswa, termimpi-mimpi bajet mahu berikan mahasiswa hadiah berupa bantuan biasiswa, elaun atau yang seumpama dengannya, seperti mana yang terselit dalam peruntukan perlembagaan.

Terutama sekali bagi pelajar dan mahasiswa yang datangnya dari keluarga latar belakangnya sederhana dan tidak berkemampuan, tiadakah bantuan atau peruntukan sedikit buat mereka, tambahan pula dengan keuntungan PETRONAS yang semakin bertambah setiap tahun, namun mimpi tersebut ternyata indahnya sekejap cuma! Bila tersedar, ianya hanyalah sekadar sebuah mimpi. Harapan dan perubahan, hanyalah mimpi kosong!! Bajet meminggirkan mahasiswa, kebejatan sosial pula tiada penghujungnya!!

http://persadakini.blogspot.com

1 comment

Tinta.Muallimah said...

Hanya PERMATA yg jadi intan terpilih.Hkikatnya kita semua terpinggir kecuali bini dia.

Powered by Blogger.