Berbilion-bilion itu bajet pilihanraya?

Ramli Abdul Samad

Kita dengar berbilion-bilion ringgit dalam Bajet 2011 bagaikan nak pecah gegendang telinga tapi apakah rakyat jelata akan dapat limpahan atau manfaat daripadanya?

Jika dibandingkan dengan 22 tahun zaman Dr Mahathir Mohamad, pelaburan pada era Najib Razak adalah lebih sakan. Dr Mahathir pun belanja sakan, contohnya RM25 bilion untuk Putrajaya dan RM7.3 bilion bagi Empangan Bakun dan berbilion-bilion ringgit lagi terhadap Menara Petronas, Formula One dan sebagainya, tetapi tidak juga membawa negara kepada sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Namun kita diberitahu belanjawan tahun depan akan menyongsong Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Ianya memaparkan sumbangan besar daripada pihak swasta, misalnya pelaburan sebanyak RM43 bilion bagi projek KL MRT, projek Daerah Kewangan Antarbangsa Kuala Lumpur bernilai RM26 bilion, projek Menara Warisan bernilai RM5 bilion, projek eko pelancongan di Karambunai Sabah bernilai RM3 bilion, projek pembinaan lebuhraya berganda dan pembangunan 1,084 hektar tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh.

Bajet 2011 mengisyaratkan bahawa negara kembali kepada pembangunan projek-projek mega yang lebih sakan lagi walaupun disedari bahawa projek-projek tersebut tidak semestinya menjana ekonomi sebenar. Contohnya projek Menara Petronas atau projek Bakun. Apa dia yang kedua-duanya dapat menjana perkhidmatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat terbanyak kita?

Dalam Anggaran Kerajaan Persekutuan 2011, hasil kerajaan persekutuan -- sebelum diambil kira penubuhan cukai yang dicadangkan dalam Bajet 2011 -- adalah sebanyak RM165.8 bilion. Langkah-langkah pencukaian yang dicadangkan dalam bajet pula memperlihatkan tambahan sebanyak RM97 juta. Justeru ini, rakyat akan dikenakan cukai untuk kerajaan memperolehi tambahan itu.

Berita baik, berita buruk

Sebelum itu kerajaan mengambil hati rakyat dengan adanya pengurangan dalam pendapatan cukai pendapatan. Ini berita baik. Kerajaan pun ada mengurangkan atau menghapuskan pelbagai cukai terus(direct tax). Ini pun berita baik. Seterusnya kerajaan akan mengurangkan duti import ke atas 300 barangan termasuk seluar dalam, baju dalam, beg tangan, jaket, pewarna dan rambut palsu -- berjumlah RM192 juta. Ini juga berita baik.

Bajet 2011 juga memberi pembayaran khas kepada staf pesara kerajaan dan penjawat awam dari gred 52 hingga gred 1 sebanyak RM500 pada akhir bulan Disember ini. Kita kurang pasti apakah bayaran ini boleh memberi apa-apa makna signifikan dari segi memberi keselesaan hidup dalam senario kos hidup dan harga barangan makanan yang semakin tinggi. Mungkin yang sinis akan berkata bahawa pemberian bayaran khas itu adalah lebih baik daripada tiada langsung.

Kerajaan melihat yang salah satu kaedahnya untuk memperolehi pendapatan tambahan itu ialah melalui cukai perkhidmatan. Ia akan mengenakan atau meningkatkan cukai perkhidmatan dari 5% ke 6% terhadap beberapa perkhidmatan, termasuk kepada mereka yang melanggan Astro. Semuanya dijangka akan memberi hasil sebanyak RM759 juta. Satu peratus kenaikan itu, jika diambil kira berjuta-juta rakyat yang mengguna perkhidmatan, sememangnya boleh membawa hasil kepada kerajaan.

Jadinya mencari tambahan cukai sebanyak RM97 juta menguntungkan pihak kerajaan pusat tetapi di masa yang sama itu bererti rakyat akan kurang lagi kuasa pembelian kita.

Selain itu, mari kita tinjau makna hasrat kerajaan akan membekukan kenaikan tol terhadap empat konsesi pemungut tol selama lima tahun. Apakah rakyat yang menggunanya akan merasa reda dan dapat menikmati tindakan yang nampak sekaligus itu bagaikan melegakan? Tetapi bukankah sudah ada perjanjian yang jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan tol setiap tiga tahun dalam lingkungan 10% atas apa sebab sekalipun, pihak kerajaan akan bertanggungjawab dan terpaksa membayar pampasan kepada konsesi tol berkenaan.

Mengikut rekod kerajaan telah membayar konsesi tol kepada PLUS kerana tidak menaikan kadar bayaran tol mengikut tahun. Ianya adalah seperti berikut:

* Tahun 2006 sebanyak RM655 juta
* 2007 -- RM698 juta
* 2008 -- RM731 juta
* 2009 -- RM850 juta


Jumlah pampasan di atas adalah RM2.9 bilion. Jika kerajaan melaksanakan pembekuan tol selama lima tahun itu, maka kerajaan harus membayar pampasan dalam lingkungan sekurang-kurangnya RM4 bilion. Soalnya, duitnya datang dari mana nanti? Pasti dari kerajaan hasil daripada pelbagai cukai terhadap rakyat!

Peruntukan yang begitu lumayan

Rakyat kena mengkhadam dan merenung maklumat ini dan meminta pihak kerajaan menghak-milikkan lebuhraya PLUS memandangkan PLUS sudah memperolehi semua kos termasuk pembinaan, penyelenggaran dan pembayaran emolumen semua stafnya. Kini PLUS sedang menikmati keuntungan bagaikan 'goyang kaki' dan sudah tiba masanya hak milik PLUS diserahkan kepada kerajaan dan kerajaan boleh memperoleh keuntungan nanti itu bagi faedah rakyat dan negara.

Projek-projek pembangunan yang dibuat selama tidak menjurus ke arah sebuah negara yang rakyat majoritinya boleh menikmati kesejahteraan hidup yang lebih sama rata dan sama rasa. Apa yang terjadi kini adalah kemewahan negara selama ini hanya dinikmati oleh golongan segelintir elit sementara golongan terbanyak boleh menyara diri sahaja.

Sekiranya kita tinjau pula peruntukan yang diberi kepada institusi tertentu, kita akan lihat bagaimana sesetengah golongan bagaikan berada dalam suasana kemewahan di sisi golongan bwahan berada dalam kemiskinan. Dalam Anggaran Kerajaan Persekutuan 2011 juga ada peruntukan kepada institusi Parlimen sebanyak RM78 juta, meningkat dari sebelum ini RM66 juta (satu peningkatan 18%).

Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula akan diberi peruntukan sebanyak RM15.9 dari RM12.2 bilion pada tahun sebelum ini, bermakna tambahan RM3.7 bilion atau 30% kenaikan. Soalnya kenapa Parlimen atau JPM harus diberi peruntukan sebegitu besar. Mungkin dari segi inilah ada tanggapan bahawa bajet kali ini adalah bajet untuk pilihanraya.

Dilaporkan kerajaan BN sudah memperuntukkan sebanyak RM100 juta di pilihan raya kecil Galas di Kelantan dan berbilion-bilion ringgit untuk tujuan pilihanraya di Sabah dan Sarawak.

Kalaulah Bajet 2011 diibaratkan sebagai bajet pembangunan, maka perlulah kita merenung kembali apa ertinya 'pembangunan' itu. Pembangunan bukan hanya merujuk sahaja kepada bangunan tertinggi sepertimana Menara Warisan yang dicadangkan itu. Ia juga merujuk sahaja kepada pembangunan sosial dan politik. Adakah kita akan mencapainya?

No comments

Powered by Blogger.