Biaya projek lebih penting dari keberkesanan kos?

Oleh ONG TEE KEAT

SABAN tahun belanjawan negara tetap menarik perhatian rakyat, khasnya jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan dan ragam projek yang diluluskan sesebuah kementerian.

Bagi setiap kementerian pula, tugasan dari peringkat pengenalpastian projek, persediaan bajet untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan ke peringkat kelulusan projek yang disyorkan sememangnya cukup mencabar lagi membebankan mereka yang terbabit.

Akan tetapi, dalam proses pelaksanaan projek, apa yang lazimnya menjadi keprihatinan pegawai adalah peratusan peruntukan yang dibelanjakan bagi pelaksanaan sesuatu projek. Jarang sekali isu keberkesanan kos sesuatu projek dibangkitkan untuk penilaian. Jarang juga tahap impak sosial projek itu ke atas pelaksanaan projek dibangkitkan untuk perbincangan.

Menjelang akhir tahun, semua pegawai yang tugasnya berkaitan dengan kewangan kementerian sudah tentu berikhtiar sedaya upaya agar tidak ketinggalan dari segi peratusan perbelanjaan sesuatu projek. Pendek kata, tahap pembiayaan projek adalah lebih penting berbanding tahap keberkesanan kos serta impak sosialnya.

Apakah peratusan pembiayaan sebenar yang mendahului tahap dijadualkan bermaksud sesebuah jabatan atau kementerian itu lebih cekap prestasinya? Inilah satu-satunya persoalan selalu membingungkan rakyat. Dalam pelaksanaan projek kerajaan, memang kita harapkan 'projek sakit' dapat dikurangkan ke tahap sifar, jika boleh. Namun projek yang menepati perkembangan pembiayaan tidak semestinya menjanjikan ia dilaksanakan tanpa masalah.

Kita sedia maklum projek-projek pembangunan fizikal adalah perlu untuk menjana peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi. Malangnya kos perbelanjaan untuk projek-projek sedemikian jauh lebih tinggi berbanding nilai pasaran semasa. Dalam hubungan ini, rakyat sebagai pembayar cukai berhak meneliti keberkesanan kos projek-projek yang dimaksudkan walaupun setakat ini tahap ketelusan sedia ada masih terhad lagi.

Dalam ingatan saya, pada 2006 apabila tercetus kejadian mempertikaikan keberkesanan perbelanjaan projek baik pulih di dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam Mukim Johor, ia menggemparkan masyarakat setempat apabila isu berkenaan diungkit dalam satu majlis jamuan makan malam anjuran salah sebuah sekolah itu.

Sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, saya didatangi wakil Lembaga Pengurus sekolah itu dengan aduan kononnya peruntukan RM30,000 yang diluluskan untuk membaik pulih bangunan sekolah yang diserang anai-anai telah dituntut secara tidak jujur oleh pihak kontraktor projek itu. Walhal jumlah nilaian kerja yang siap dilaksana itu didapati tidak melebihi RM3,000, iaitu hanya sekadar 10 peratus daripada jumlah yang dilulus dan dituntut.

Saya menyentuh perkara itu dalam ucapan saya kemudian dengan menyatakan bahawa dalam kontroversi itu, pegawai pelajaran dan kerja raya tempatan yang sepatutnya diharapkan untuk memantau pelaksanaan projek itu demi kepentingan masyarakat setempat.

Saya tidak menyangka ucapan yang diberi liputan media itu telah menggusarkan pihak kementerian yang berkenaan sehingga saya dikecam hebat oleh menteri dan pegawai-pegawai kanannya. Tindak-tanduk saya yang diibaratkan mengusik sarang tebuan itu diberi kata dua oleh Jemaah Menteri tanpa diberi ruang untuk jelaskan perkara sebenarnya.

Perkembangan seterusnya cukup memeranjatkan semua pihak apabila kontraktor berkenaan mengakui sendiri akan tuntutan bayarannya yang tidak jujur itu. Apa yang mengguris perasaan saya ialah kenapa pendedahan penyelewengan sedemikian tidak ditangani dengan penyiasatan teratur terlebih dahulu? Hinggakan ada desakan ke atas saya untuk melepaskan jawatan Timbalan Menteri.

Kalaulah saya selaku seorang anggota pentadbiran boleh diberi layanan seburuk seperti kecaman hebat yang menyifatkan saya sebagai 'pembohong', maka tidaklah hairan jika pembayar cukai lain menerima layanan jauh lebih buruk lagi.

Lebih-lebih lagi, atas kriteria apa dakwaan saya mengenai penyelewengan itu terus diketepikan sebagai pembohongan? Apakah kata-kata syarikat kontraktor lebih boleh dipercayai daripada saya sebagai seorang anggota pentadbiran?

Seperti biasa, segala pertanyaan yang dilontarkan itu tidak dibalas dengan jawapan, apatah lagi mereka yang terbabit sanggup memohon maaf kepada saya selepas penyelewengan yang saya dedahkan itu didapati sahih!

Kini perkara itu sudah pun berlalu, tetapi kita seolah-olah belum lagi mengambil iktibar daripadanya. Malah skandal yang berlaku berikutnya cukup hebat untuk menggemparkan seluruh negara. Saya tidak sangka kerjaya politik saya ditimpa lagi satu ‘sarang tebuan’ yang berlipat ganda besar saiz dan impaknya. Sarang tebuan yang dimaksudkan tidak lain daripada skandal PKFZ.

Jika dibandingkan dengan PKFZ, apa yang berlaku dalam projek baik pulih bangunan sekolah di Johor hanyalah perkara kecil. Skandal PKFZ telah pun berlaku sebelum saya menerajui Kementerian Pengangkutan pada Mac 2008. Namun begitu, saya terpanggil untuk mengarahkan satu penyiasatan bebas dibuat atas kes yang dikira sudah tamat dan tutup itu. Keputusan itu tidak dibuat atas dasar untuk mengejar populariti, tetapi lebih untuk menjaga kepentingan pembayar cukai kita. Kegagalan pihak berwajib untuk menangani skandal itu dengan teliti telah menyebabkan begitu banyak desas-desus disebarkan melalui laman-laman web, sekali gus menjejaskan kredibiliti parti pemerintah.

Menyingkap kembali pahit-maung yang diharungi dalam isu PKFZ, saya sebenarnya cukup penat khususnya minda ketika berhadapan dengan tohmahan demi tohmahan. Hati saya cukup sedih apabila mengetahui wang pembayar cukai mencecah ratusan juta telah dituntut dan diselewengkan dengan mudah sekali.

Dalam kes penyelewengan projek sekolah tadi, sekurang-kurangnya kerja fizikal kelihatan. Namun dalam `kes PKFZ, kerja-kerja fizikal tertentu yang dijanjikan hitam-putih tidak kelihatan. Itu penipuan namanya.

Jadi, apa kesudahannya? Inilah soalan yang sering kali berbangkit pada minda masyarakat. Senario sekarang adalah pengganti saya secara lantang menyatakan penyiasatan kes PKFZ tidak akan diteruskan lagi. Sebagai seorang peniup wisel (whistle blower) dalam kes ini, saya telah kehilangan wadah politik untuk menyatakan pendapat. Sementara individu yang terbabit dalam skandal itu masih bebas berkeliaran.

Harapan saya agar sistem pemerolehan (procurement) kita tidak lagi mudah terpedaya dengan tipu helah yang didorong kepentingan komersial. Selagi takuk minda pihak-pihak berkepentingan tidak tertumpu ke arah habuan peribadi, saya yakin usaha menegakkan budaya pembangunan berhemah yang menepati cita rasa rakyat dapat direalisasikan.

Laungan integrit' dan ketelusan perlu dianggap sebagai satu komitmen kepada rakyat jelata, dan bukannya sekadar slogan manis semata-mata. Mungkin ada baiknya jika beberapa kejadian yang dinyatakan tadi dijadikan penanda aras dalam menguji kejayaan negara menegakkan budaya politik yang bebas rasuah.

* Penulis adalah Ahli Parlimen Pandan dan bekas Menteri Pengangkutan.

No comments

Powered by Blogger.