Gerakan Nafi Wujud Cubaan Rasuah Menjelang EGM

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- Gerakan pada Jumaat menafikan dakwaan wujud cubaan merasuah menjelang pemilihan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan Pulau Pinang Ahad ini.

Speaker kebangsaan parti itu, Tan Sri Dr Chin Fook Weng berkata apa yang berlaku adalah salah faham ekoran gurauan kerani di pejabatnya yang menghubungi beberapa orang dalam pergerakan pemuda parti itu berhubung EGM berkenaan.

"Sebenarnya saya mengarahkan kerani terbabit menghubungi mereka (beberapa pemuda parti) untuk meminta bantuan menguruskan EGM pada Ahad ini tetapi kerani itu dalam perbualan telefon telah bergurau dengan memaklumkan mereka dipanggil oleh 'bos' mungkin untuk dilantik sebagai penyelaras.

"Saya mengaku memang memanggil mereka sebagai penyelaras tetapi menyelaras bahagian dewan, parkir kereta dan urusan sidang akhbar dan bukannya untuk merasuah mereka supaya mengundi menentang usul tidak percaya terhadap Datuk Dr Teng Hock Nan (Pengerusi Gerakan Pulau Pinang).

"Perkara itu telah disalah tafsir oleh mereka dengan menganggap ia adalah cubaan rasuah sedangkan ini semua adalah salah faham dan saya mengaku 'bos' yang dimaksudkan itu adalah saya dan bukannya Dr Teng seperti yang didakwa mereka," katanya pada sidang akhbar yang turut di hadiri Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn dan Naib Ketua Pemuda negeri, H'ng Khoon Leng.

Chin berkata beliau dipanggil 'bos' kerana kedudukannya sebagai orang lama dan menguruskan kerja yang dilakukan dalam urusan pentadbiran pejabat Gerakan termasuk bagi mesyuarat, sidang akhbar dan pelbagai lagi.

"Kebanyakan pekerja di pejabat Gerakan memang memanggil saya 'bos' kerana saya orang lama di sini (pejabat)," katanya.

Pada Khamis, kumpulan 'Suara Akar Umbi Gerakan' dilaporkan berkata gelaja rasuah wujud menjelang mesyuarat EGM itu yang dipanggil oleh kumpulan itu bagi menyingkirkan pengerusi Teng.

Pemimpin kumpulan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Heng, mendakwa Dr Teng telah menawarkan jawatan penyelaras kawasan Parlimen dan Dewan Undangan negeri (DUN) kepada anggota perwakilan bagi meraih sokongan semasa berkempen di kawasan Seberang Perai.

Jawatan penyelaras kawasan diwujudkan oleh Barisan Nasional bagi parti Gerakan yang tewas kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum lepas di negeri itu.

No comments

Powered by Blogger.