Izzah layak bertanding timbalan presiden

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kini layak bertanding jawatan timbalan presiden selepas menerima satu lagi pencalonan daripada cabang Semporna, Sabah.

Ini diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail selepas perkara itu dibawa ke mesyuarat biro politik malam tadi.

"Selepas mesyuarat bersama dengan biro politik malam tadi kami memutuskan untuk menerima laporan akhir pencalonan daripada cabang yang lewat. Kami terima borang pencalonan mereka.

"Saya turut mengesahkan bahawa Nurul Izzah turut menerima laporan akhir pencalonan bagi cabang Semporna sekaligus melayakkan beliau untuk bertanding jawatan timbalan presiden," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Izzah kini layak bertanding jawatan timbalan presiden dan setakat ini menerima tiga pencalonan daripada Semporna, Keningau dan Selangau. Semalam Saifuddin mengumumkan tarikh akhir penghantaran laporan pencalonan bagi setiap cabang pada 10 Oktober.

Disebabkan kekeliruan tarikh itu, ketua cabang Semporna (Sabah) dan Selangau (Sarawak) yang mencalonkan Nurul Izzah menyatakan kekesalan ekoran tidak dimaklumkan mengenainya.

Menurut Saifuddin, menerusi 204 cabang keseluruhannya, 193 cabang selesai bermesyuarat.

Manakala 162 cabang telah menghantar laporan akhir pencalonan mengikut tarikh yang ditetapkan dan enam cabang yang lewat itu termasuklah Selangau di Sarawak; Semporna dan Beluran di Sabah; Segambut, Setiawangsa dan Titiwangsa.

Saifuddin berharap dengan pengumuman tersebut dapat menghentikan tafsiran masing-masing berhubung kekeliruan dan dakwaan ‘konspirasi’ yang dilaporkan media semalam.

"Jika beberapa ketua cabang atau dua pimpinan yang tidak dimaklumkan mengenai tarikh…mereka perlu semak kit borang pencalonan yang diserahkan kepada mereka sebelum mesyuarat bersidang."

"Maka saya jelaskan dakwaan wujudnya niat manipulasi dan konspirasi, saya serahkan untuk tafsiran masing-masing," katanya yang juga ahli parlimen Machang.

Menurut beliau, setakat hari ini seramai 252 calon diterima bagi jawatan majlis pimpinan pusat yang merangkumi (presiden, timbalan, naib dan majlis pimpinan pusat).

Manakala bagi calon yang layak bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) ialah 183 calon, Wanita PKR pula seramai 100 orang yang layak.

Sementara itu, bagi calon yang layak untuk bertanding MPP perlu mengemukakan pencalonan mereka selewat-lewatnya 16 Oktober ini.

Jika gagal berbuat demikian maka secara automatiknya pencalonan mereka dibatalkan.

PKR juga akan mengeluarkan senarai muktamad calon yang bertanding jawatan MPP, Wanita dan AMK pada 24 Oktober ini.

Sepanjang tarikh 16 sehingga 23 Oktober itu, anggota parti boleh mengemukakan sebarang bantahan.

Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 November di Dewan Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

No comments

Powered by Blogger.