PARTI KITA BERADA DI PERSIMPANGAN JALAN

16 Oktober yang lalu ialah hari penerimaan pencalonan Keadilan peringkat pusat. Ratusan orang calon disertai penyokong-penyokong mereka telah menyerahkan borang masing-masing di ibupejabat Parti.

Suasana meriah dan gembira jelas kelihatan di wajah mereka yang datang dari jauh dan dekat. Kalau ada sesiapa yang ingin melihat kekecohan berlaku pada hari itu, sudah tentu mereka telah kecewa kerana hajat mereka tidak sampai.

Beruntunglah saya dapat bersama-sama dalam happening yang bersejarah ini. Selain daripada menyerahkan borang penerimaan pencalonan bagi jawatan MPP, saya juga telah berpeluang berinteraksi dengan ramai pemimpin dan bakal pemimpin Parti. Banyak yang telah saya perolehi daripada mereka, dan banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Rupa-rupanya, kaedah satu-orang-satu-undi ini besar hikmahnya. Ia bukan saja dapat memperkasakan Parti dengan mengembalikan hak dan kuasa memilih kepada seluruh anggota, malahan ia membuka ruang seluas-luasnya kepada bakat-bakat yang terpendam untuk bercambah. Ini terbukti dari ramainya jumlah yang masuk bertanding kali ini.

Saya melihat ini sebagai satu langkah permulaan yang positif dan berani oleh Parti. Sekiranya konsep satu-orang-satu-undi diamalkan dengan baik dan bijaksana, hasilnya tentu menakjubkan. Sebab itu, ia mesti difahami dan diterapkan ke dalam benak setiap anggota supaya tidak mengalami penyalahgunaan.

Selanjutnya, proses pendemokrasian Parti mesti terus berkembang selangkah demi selangkah. Ia tidak selesai hanya dengan pelaksanaan satu-orang-satu-undi. Banyak segi lain lagi yang perlu diperbetulkan.

Dalam organisasi politik seperti Keadilan, demokrasi dan disiplin adalah saudara kembar yang tidak boleh dipisahkan. Ada satu tanpa yang satu lagi akan menjadikan organisasi itu pincang. Justeru itu, anggota Keadilan tidak berhak untuk bercakap tentang hak-hak demokrasi dalam Parti seandainya pada masa yang sama dia enggan mematuhi disiplin Parti.

Oleh kerana itu, kedua-dua aspek tersebut mesti dipegang kejat oleh segenap anggota Keadilan tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Gagal berbuat demikian bererti dia bukan seorang anggota atau pemimpin baik Parti.

Kini Keadilan berada di persimpangan jalan. Di tahap genting ini, kita bukan saja memerlukan satu barisan pimpinan yang baik dan teruji, malahan kita juga memerlukan pasukan besar yang terdiri daripada anggota-anggota parti yang setia tetapi bukan membabibuta.

Syed Hamid Ali

19.10. 2010

No comments

Powered by Blogger.