Pemimpin Umno Kedah Perlu Lebih Agresif - Shafie Apdal

JITRA, 9 Okt (Bernama) -- Pemimpin Umno Kedah, terutama di peringkat akar umbi, perlu lebih agresif dalam memperjuangkan isu rakyat dan yang berkaitan kerajaan negeri bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno serta Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin parti di peringkat negeri perlu meningkatkan usaha dalam mengetengahkan isu membabitkan kepentingan rakyat seperti tarif air yang dinaikkan mulai 1 Okt lepas.

Katanya, terdapat banyak isu yang boleh diperjuangkan di Kedah terutama berkaitan kepimpinan kerajaan negeri ketika ini yang diterajui PAS.

Beliau berkata walaupun Umno Kedah menunjukkan peningkatan daripada segi persepakatan berbanding di peringkat awal selepas kalah pada Pilihan Raya Umum 2008, masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

"Sekarang jangan lagi pertikaikan tentang orang itu dan orang ini. Fikirkan tentang perjuangan asal untuk mengambil semula tampuk pemerintahan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Kedah pada Sabtu.

Mohd Shafie yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kedah berkata, untuk merampas semula kerajaan negeri, pemimpin Umno perlu kembali kepada tonggak utamanya, iaitu perpaduan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Umno negeri akan menyumbang kira-kira RM100,000 sebagai bantuan pendidikan kepada semua bahagian di negeri itu untuk disalurkan kepada sekolah yang memerlukan.

"Bahagian-bahagian akan mengenal pasti sekolah-sekolah itu dalam masa terdekat ini. Saya minta jawatankuasa bahagian memperincikan bentuk bantuan pendidikan yang diperlukan.

"Bantuan pendidikan yang kita beri bukanlah dalam bentuk wang sahaja...ia boleh jadi barangan," katanya.

yang kata tu pun lembik jugak!

No comments

Powered by Blogger.