PM perlu jelaskan kontrak runding terus lebuhraya

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua hari ini meneliti kertas cadangan pemberian kontrak secara rundingan terus pembinaan lebuhraya yang baru dan mendakwa ia tidak telus sepertimana yang dinyatakan oleh kerajaan.

Akhbar bisnes "The Edge Financial Daily" semalam melaporkan bahawa empat lebuhraya bertol dicadangkan di Semenanjung dan dijangka dibentangkan dalam Belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak Jumaat ini.

Adalah difahamkan, dalam laporan itu, PLUS Expressways Bhd akan dilantik sebagai pemegang konsesi lebuhraya-lebuhraya itu manakala Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mengendalikan dua lebuhraya yang lain.

Lebuhraya yang akan dikendalikan oleh PLUS ialah dari Sungai Dua ke Juru di Pulau Pinang, dari Kinrara ke Damansara di Lembah Klang manakala lebuhraya di bawah kendalian PNB ialah dari Ampang ke Cheras dan dari Damansara ke Sg Buloh.

Berita ini mengejutkan kerana kata Pua, "tidak nampak sebarang tanda langsung" bahawa projek-projek ini ditawarkan secara tender terbuka dan berasaskan daya saing seperti yang dijanjikan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE).

"Kita tidak perlu melihat kepada MBE untuk mengetahui bahawa perdana menteri tahu benar mengenai kesan negatif seperti pengurusan yang lemah ekoran dari langkah pemberian kontrak swasta secara terus.

Najib akui perlu ada persaingan

Mengungkap kembali kenyataan Najib pada Forum Ekonomi Jeddah 2007 kepada para pelabur asing ketika beliau timbalan perdana menteri, Pua berkata Najib telah menggariskan beberapa isu yang menjadi pengajaran kepada Malaysia dari program pengswastaan sejak 1980an.

Malahan "layanan istimewa" yang diberi kepada golongan yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi, perlu ada persaingan yang secukupnya di kalangan mereka sendiri.

Hanya mereka yang mempunyai kemahiran yang sesuai, berkeupayaan dan memiliki sumber dan dana yang mencukupi sahaja yang harus dipilih.

Beliau juga secara khusus menasihati supaya tidak mengikut pendekatan "yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan".

Pua berkata, "Najib mengakui bahawa pengalaman kita menunjukkan bahawa dengan "memberi keistimewaan atau eksklusif kepada satu-satu pihak", berpotensi untuk mengakibatkan kos meningkat dan ini akan membebankan pengguna serta pembayar cukai.

"Walaupun beliau (Najib) mengakui tentang hal ini, namun beliau belum mengotakan apa yang dikatakan," tambahnya.

Ujar beliau, "ini merupakan pengakuan secara terbuka bahawa dasar pengswastaan negara gagal dari beberapa aspek sejak ianya diperkenalkan pada 1980an.

"Persoalannya, ketika Najib petah mengkritik dasar pengswastaan kita di depan sekumpulan para pelabur antarabangsa, adakah beliau telah atau akan mempraktis apa yang beliau ucapkan dalam MBE?" soal beliau.

Beliau mendakwa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat bagi meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kos hidup bagi memastikan kadar tol berada tahap minima dan dilaksanakan dengan tegas apabila perlu.

Oleh itu kata Pua, perdana menteri "mesti memberi penjelasan" ketika pembentangan Belanjawan 2011 sama ada tender terbuka menjadi kriteria utama dalam pemberian kontrak kerajaan.

"Bukan setakat pembelian pen dan kertas, tapi lebih penting ialah semua projek mega yang ditawarkan dan berselindung di sebalik inisiatif kewangan awam (PFI – Public Finance Initiative) atau perkongsian awam-swasta (PPP – Public-Private Partnership).

No comments

Powered by Blogger.