Puluhan ribu beri penghormatan terakhir

http://cyberita.asia1.com.sg/mnt/media/image/launched/2010-10-04/BH_IMAGES_SJWAKE_P-9LX.jpg

BERATUR PANJANG: Orang ramai yang tiba awal pagi semalam, sebelum pintu istana dibuka pada 10 pagi, beratur sehingga ke Plaza Singapura, untuk memberikan penghormatan terakhir mereka kepada mendiang Cik Kwa Geok Choo. -- Foto THE STRAITS TIMES


Seawal 10 pagi orang ramai tidak putus-putus ziarahi jenazah Cik Lee di pekarangan Istana

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini dan Shamsul Jangarodin

PULUHAN ribu rakyat Singapura daripada segenap lapisan, usia dan kaum membanjiri pekarangan Istana semalam bagi memberikan penghormatan terakhir kepada 'bonda Singapura' - mendiang Kwa Geok Choo.

Seawal 10 pagi, sejurus gerbang Istana dibuka, jenazah isteri Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, dan ibu Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, itu tidak putus-putus diziarahi orang ramai yang beratur sehingga ke Plaza Singapura, di hari pertama upacara penghormatan terakhir dibuka untuk awam.

Mereka - daripada sanak saudara, teman-teman lama, jiran tetangga dan rakyat jelata yang pernah berhubungan atau menikmati sumbangan mendiang dalam pembangunan Singapura - menintakan kekata takziah pada buku yang diletakkan di pintu masuk Sri Temasek, kediaman rasmi Perdana Menteri di pekarangan Istana, di mana jenazah ditempatkan.

Suasana yang hening tambah syahdu dek alunan lagu Bach Golberg Variations.

Orang ramai bertafakur di depan keranda mendiang yang dihiasi dengan bunga mawar putih dan merah jambu.

Mereka disambut Perdana Menteri Encik Lee dan isterinya, Cik Ho Ching, yang kelihatan sedih tetapi tenang.

Mendiang dipakaikan dengan pakaian kegemarannya - ceongsam - berwarna merah jambu terang.

Kali terakhir upacara serupa diadakan di Sri Temasek ialah bagi mantan Menteri Kewangan, Encik Hon Sui Sen, yang meninggal dunia pada 1983.

Mendiang Cik Lee meninggal dunia pada usia 89 tahun petang Sabtu lalu.

Mendiang telah dua tahun tidak dapat bergerak dan bercakap setelah beberapa kali diserang angin ahmar.

Semalam, jemaah menteri Kabinet, antaranya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam; dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim, hadir memberi penghormatan masing-masing.

Anggota Parlimen, termasuk daripada parti pembangkang, serta pemimpin masyarakat, kesatuan dan agama juga hadir.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, turut dilihat memberi penghormatan terakhirnya.

Bercakap kepada wartawan di luar Sri Temasek, Presiden S R Nathan berkata beliau kali terakhir menemui Cik Lee ketika mendiang masih boleh berjalan.

Menurut beliau, mendiang amat mengambil berat terhadap orang lain.

'Semasa kami sama-sama ke luar negeri dan bila tiba masa makan, mendiang akan memanggil saya untuk makan bersamanya dan Encik Lee,' kata Encik Nathan yang ketika itu seorang pegawai perkhidmatan awam.

Dalam kawat takziahnya kepada Menteri Pembimbing Encik Lee, Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, berkata apabila beliau mendapat tahu Cik Lee semakin di penghujung hayatnya, beliau telah menasihati Perdana Menteri Encik Lee supaya tidak ke Brussels, namun Encik Lee berasa tugasnya harus didahulukan.

'Hati saya berat kerana saya khuatir itu kali terakhir beliau melihat ibunya hidup,' kata Encik Goh.

No comments

Powered by Blogger.