Shahrizat oh Shahrizat: Wanita Umno macam melukut di tepi gantang!

Oleh SAFAR JUMAAT

PRESIDEN Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tiba-tiba meminta Pergerakan Wanita Umno masuk ke kawasan yang dikuasai pembangkang. Ia bertujuan untuk mendekati rakyat di k awasan itu, bertujuan merampas kembali kerusi yang dikuasai pembangkang.

Arahan itu, bolehlah dianggap sebagai arahan dan boleh juga dianggap sebagai suntikan motivasi tetapi, bagaimanakah Pergerakan Wanita mahu berada di kawasan pembangkang, kerana ketuanya sendiri, Dato' Seri Sharizat Abdul Jalil sendiri, didakwa sudah enggan ke Lembah Pantai, kawasan yang pernah diwakilinya sebelum ini, sejak beliau dikalahkan Nurul Izzah Anwar.


Mudah bagi Najib membuat arahan itu, kalau ketua sayap Umno ini, adalah orang yang menang pilihan raya. Malangnya, Sharizat tewas.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator dan menteri tetapi, kawasan Lembah Pantai sendiri, ketua bahagiannya, turut dilantik sebagai Senator dan menteri, yang membuatkan Sharizat merasakan beliau tidak mungkin akan terpilih bertanding di Lembah Pantai lagi, selepas ini.

Dalam sejarah Pergerakan Wanita Umno, inilah zaman malap buat sayap parti Melayu ini. Sharizat tewas dalam pilihan raya. Beliau tewas selepas mewakili kawasan Lembah Pantai sejak empat penggal lalu. Beliau tewas dengan KeADILan yang menyebabkan buat seketika Sharizat terkeluar dari senarai menteri kabinet.

Naibnya, Dato' Kamilia Ibrahim pula tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu dan sudah habis tempoh dua penggal dilantik menjadi Senator, ketika dia menjadi Exco Pergerakan Wanita, zaman Rafidah Aziz.

Maka, dia tidak bergelar YB hingga saat ini dan mengharapkan Rafidah tidak bertanding lagi di Parlimen Kuala Kangsar dalam PRU 13 akan datang, yang membolehkannya menjadi calon mewakili BN.

Umno seperti ada masalah dengan Wanita sebenarnya. Kalau pilihan raya kecil, amat jarang Wanita Umno terpilih menjadi calon. Tengok sahaja di Dun Galas kali ini, apakah ada peluang Wanita dicalonkan? Rasanya tidak sama sekali.

Untuk membuat kerja, Umno nampak, Wanita mampu menjalankan kerja "Ketua 10" yang naik rumah turun rumah, tetapi untuk dipilih menjadi calon, rasanya lambat lagi Umno mahu berubah bagi memberi tempat yang sewajarnya kepada Wanita.

Jika dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Wanita Umno merasakan dua pemimpin mereka menjadi menteri serentak dan pernah tiga orang dalam satu masa, tetapi, kini, Wanita Umno tidak dapat mengulangi sejarah kegemilangan mereka itu.

Nama-nama seperti Rafidah, Napsiah Omar dan Zaleha Ismail adalah bekas menteri yang cukup berkaliber suatu ketika dahulu. Lazimnya, Wanita Umno, sejak Fatimah Hashim dan Aishah Ghani mereka akan dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, tetapi, Rafidah dan Napsiah merasakan kerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri dan Menteri Perusahaan Awam.

Dato' Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Shahrizat nampaknya dikekalkan sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat walaupun nama kementerian itu sudah dinamakan dengan nama baru, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Ketika Presiden Umno nampak bahawa keringat Wanita berada di lokasi yang dikuasai pembangkang BN akan menang semula kerusi-kerusi yang tumbang itu, nampaknya Najib tidak pernah menjanjikan bahawa Wanita akan diberikan ganjaran yang lebih besar jika mampu menjalankan tugas yang diberikan kepada mereka.

Dalam Umno, Pergerakan Wanita ini sebenarnya tidak lebih dari tukang membawa bunga manggar dan sirih junjung sahaja ketika ada majlis menyambut pemimpin negara.

Namun, disebabkan Puteri Umno pun sudah ada yang bergelar YB dan ketuanya dilantik menjadi Timbalan Menteri, maka status Wanita Umno perlu dipertingkatkan.

Kemampuan Sharizat sebagai ketua, yang baru setahun jagung masih dipertikaikan. Perpecahan akibat pertandingan sengit antaranya dengan Sharizat suatu ketika dahulu, sebenarnya masih belum pulih.

Sharizat dikatakan mengenepikan terus orang-orang Rafidah, padahal Sharizat sendiri adalah orang Rafidah sebelum beliau membuat keputusan meninggalkan Rafidah yang tidak dilantik semua menjadi menteri selepas keputusan PRU 12 yang lalu.

Kemenangan Sharizat bukan kerana pengaruh beliau kuat dalam Wanita Umno tetapi kerana ada campur tangan luar yang mahu menyingkirkan Rafidah ketika Najib sendiri mengharapkan satu sokongan yang kuat dari semua sayap, ketika mahu menerima pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi dari kerusi Presiden Umno.

Waktu itu, Najib dikatakan tidak dapat 'mengawal' Rafidah dan tidak pasti dengan pendirian Khairy Jamaluddin yang sudah jelas menerajui Pergerakan Pemuda. Jalan paling mudah, memastikan Sharizat memenangi pertandingan itu dan Rafidah diketepikan.

Najib pastinya tahu, Kamilia sudah tentu tidak akan berundur dari pendiriannya mahu merebut kerusi Naib Ketua Pergerakan Wanita. Dengan dorongan kuat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Kamilia dikatakan menjadi pendokong kuat kepada hasrat Sharizat yang terlalu takut menyatakan pendirian kerana selama ini beliau didakwa terlalu "rapat" dengan Rafidah.

Dalam sejarah politik Rafidah, beliau pernah ditewaskan sekali oleh Dr. Siti Zaharah tetapi dapat merampasnya kembali dan menamatkan terus karier politik Dr. Siti Zaharah.

Sharizat tentunya mengambil kira semua itu dan tentunya beliau tidak mahu apa yang berlaku kepada Dr. Siti Zaharah akan berlaku juga kepadanya.

Hari ini, harapan Najib mahukan Pergerakan Wanita berada di lokasi pembangkang, tentunya satu tugas yang tidak mampu dilaksanakan sayap Umno ini.

Pertama, mereka terpaksa bersaing dengan pengaruh PAS, KeADILan dan DAP yang tentunya mempunyai barisan kepimpinan Wanita yang jauh lebih hebat dari kepimpinan Wanita Umno.

Satu masalah Wanita Umno yang paling nyata ialah mereka tidak dapat menyerap masuk bekas pemimpin Puteri Umno ke dalam entiti mereka. Itulah sebabnya, nama-nama seperti Dato' Seri Azalina Othman dan Dato' Noraini Ahmad, tidak seharum ketika mereka bersama Puteri.

Mereka terpaksa meninggalkan Puteri kerana usia menjadi penghalang tetapi, walaupun mereka mungkin diterima di peringkat bahagian, malangnya di peringkat Pusat, mereka terpinggir.

Jika kebanyakan pemimpin Umno itu sendiri datangnya dari Pemuda, malanglah Wanita kerana mereka tidak dapat 'graduan' baru dari Puteri kerana masalah jurang yang terpisah sejak kelahiran Puteri itu sendiri.

No comments

Powered by Blogger.