SPR tidak lantik, Mafrel tetap mahu pantau DUN Galas

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat keputusan tidak melantik mana-mana badan pemantau termasuk Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) di Galas, badan bukan kerajaan itu tetap akan memantau perjalanan pilihan raya kecil ke-12 itu.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata pemantauan tersebut akan dibuat di luar skop peranan dan kuasa SPR.

“Kita akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan SPR bagi membincangkan perkara ini, malah esok (hari ini) kita juga akan bermesyuarat dengan jawatankuasa Mafrel.

“Sekiranya selepas perbincangan SPR tetap tidak akan melantik Mafrel sebagai badan pemantau pilihan raya kecil Galas, kita tetap akan melaksanakannya tetapi di luar kawasan panas yang dibenarkan SPR,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ini kali ketiga Mafrel tidak diiktiraf sebagai badan pemantau oleh SPR selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

Sebelum ini, SPR membenarkan wakil Mafrel berada di kawasan penamaan calon, tempat-tempat mengundi dan pusat penjumlahan undi.

“Kita akan teruskan pemantauan yang kita buat. Dulu pun ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor SPR juga tidak mengiktiraf Mafrel tapi kita tetap menjalankan tugas seperti biasa.

“Apa-apa pun kita akan bincang dahulu dengan pihak SPR bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkara ini,” kata Syed Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengatakan pihaknya tidak akan melantik mana-mana pertubuhan untuk menjadi pemantau termasuk Mafrel.

“Setakat ini SPR belum buat keputusan untuk melantik mana-mana pemantau bebas kerana bagi kita pemantau dan pemerhati dalam dewan pengudian adalah ejen pemantau terbaik.

“Jadi kita tidak akan melantik mana-mana pertubuhan termasuk Mafrel untuk menjadi pemantau dalam pilihan raya kecil kali ini,” kata Wan Ahmad.

SPR menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN kawasan Galas, jika ada pertandingan dengan penamaan calon pada 26 Oktober.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus minggu lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

DUN Galas mempunyai seramai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Pecahan peratus pengundi adalah Melayu terdiri daripada 61.63 peratus, Cina 20.08 peratus, India 1.6 peratus, Bumiputera 0.9 peratus, Orang Asli 16.37 peratus dan lain-lain 0.23 peratus.

No comments

Powered by Blogger.