Sukan Komanwel: Malaysia Kumpul Lima Pingat Emas Selepas Lima Hari Berentap

Oleh P.Vijian

NEW DELHI, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia kelihatan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kutipan 10 pingat emas di Sukan Komanwel 2010 ini, apabila sehingga kini di hari kelima temasya sukan itu, atlet negara berjaya mengumpul lima pingat emas, dengan tempoh sukan Komanwel berbaki enam hari lagi.

Hari ini menyaksikan atlet negara meraih enam pingat, dengan dua darinya memancarkan kilauan emas, masing-masing satu dalam acara skuasy dan badminton, manakala pingat perak dipungut dari acara menembak serta memanah, dan pingat gangsa dari acara ping pong dan berbasikal.

Ratu skuasy negara Datuk Nicol David akhirnya memenangi pingat emas pertamanya dalam Sukan Komanwel, selepas beliau menewaskan pemain England Jenny Duncalf dalam pertembungan di Sri Fort Sports Complex.

Pasukan badminton negara pula menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 untuk pingat emas dalam acara berpasukan.

Kutipan pingat hari ini bermula dengan pasukan ping pong negara yang dibarisi oleh Beh Lee Wei, Ng Sock Khim dan Fan Xiao Jun, yang mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat di Sukan Komanwel dalam acara itu buat pertama kali.

Mereka menewaskan pasukan England yang terdiri daripada Kelly Sibley, Joanna Parker dan Hanna Hicks untuk memperolehi pingat gangsa.

Satu lagi pingat gangsa diperolehi daripada pasukan berbasikal acara pecut yang menampilkan gandingan Awang Azizulhasni, Josiah Ng, dan Mohd Rizal Tisin.

Pingat perak pula diperolehi oleh Hasli Izam Amir Hassan menerusi acara perseorangan 25m rapid fire pistol, dan pasukan memanah recurve lelaki Malaysia yang terdiri daripada Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra.

Pada Sabtu, atlet Malaysia akan mengambil bahagian dalam 16 acara peringkat final.

Di hari ke enam, antara acara sukan yang akan disertai atlet Malaysia ialah renang, memanah, tinju, serta menembak, dan kebanyakan acara ini dikuasai oleh negara Australia dan tuan rumah India.

Sehingga hari ini Malaysia sudah mengumpulkan 16 pingat, hampir separuh daripada jumlah yang dikumpulkan dalam Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia yang menyaksikan Malaysia mengutip 29 pingat.

Kontinjen Australia sehingga kini menerajui senarai dengan mengumpul 98 pingat (47 emas), diikuti tuan rumah India dengan 47 pingat (20 emas).

Di luar gelanggang pegawai-pegawai India masih berusaha menangani pelbagai masalah harian, dan antara masalah yang timbul hari ini ialah papan markah stadium ragbi yang jatuh, kesukaran mendapatkan permit untuk menjayakan liputan beberapa acara seperti berbasikal dan maraton, di samping masalah yang sudah berlarutan sejak awal iaitu kekurangan penonton di banyak gelanggang.

"Ada beberapa kawasan larangan penerbangan, sedangkan kami perlu berada di udara di kawasan itu untuk membuat liputan televisyen buat acara berbasikal dan madaton. Kami tidak ada pelan B, tapi kami yakin akan dapat kebenaran untuk terbang di kawasan itu," kata ketua Persekutuan Sukan Komanwel Mike Fennell kepada media.

Sementara itu sistem kemaskini maklumat Sukan Komanwel menerusi laman web rasmi temasya sukan itu yang rosak sejak awal masih belum dibaiki sehingga kini, dan ia akan menyulitkan wartawan yang membuat liputan pelbagai acara sukan.

No comments

Powered by Blogger.