TV3 didenda RM50,000 ekoran iklan kontroversi

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SMKM) mengenakan kompaun maksimum RM50,000 terhadap TV3 ekoran siaran iklan kontroversi Hari Raya Aidilfitri hingga menimbulkan kemarahan masyarakat Islam.

Ketika menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Bharu), Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Joseph Salang Gandum memberitahu Dewan Rakyat pagi ini bahawa perkara ini telah disiasat di bawah Seksyen 206 (3) Akta SMKM kerana "menghasut dan menghina" orang-orang Islam.

"Selepas siasatan, SMKM mengenakan kompaun maksimum RM50,000," katanya. Iklan yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu, terutama di kalangan masyarakat Islam, mengadunkan unsur-unsur agama Kristian, Hindu dan Buddha ketika tayangan komersial perayaan Hari Raya.

Para pengkritik mendakwa iklan itu, yang mempamerkan beca terbang, lotus dan lampu, boleh mengelirukan para pemuda dan orang-orang Islam.

Berikutan kemarahan orang awam itu, TV3 membatalkan penyiaran iklan dan memohon maaf kerana "mengguris perasaan" para penonton dari kalangan masyarakat Islam.

Bagaimana dengan Namewee?

Dalam perkembangan lain, Joseph Salang menafikan tuduhan bahawa SMKM gagal mengambil tindakan terhadap Wee Meng Chee atau lebih popular sebagai "Namewee" berhubung video bertajuk "Nah".

Video ini yang disiarkan menerusi Youtube, mendapat kritikan kerana beliau didakwa mengeluarkan kata-kata kesat untuk menghina orang-orang Islam.

Video ini dirakam sebagai tindak balas terhadap kata-kata perkauman oleh seorang pengetua sekolah di Johor beberapa bulan lalu, dikenali sebagai Siti Inshah Mansor.

Menyentuh mengenai beberapa lirik dalam video itu di Dewan Rakyat, Zulkifli berkata, Wee mengambil peluang dari sikap toleransi kerajaan kerana beliau dilepaskan begitu saja dengan videonya yang terdahulu yang "menghina" negara dengan "Negarakuku" dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Beliau meluahkan kata-kata kesat seperti, empat huruf bersifat rasis, Siti Inshah menghisap pisang, isyarat tangan lucah, gambar perempuan Muslim yang hina di video.

"Apa yang menteri buat untuk menghentikan perkara ini, kerana video itu telah menarik seramai 316,000 penonton dan Negarakuku dengan 1.06 juta penonton.

Malahan komentar dalam video itu mencetuskan kebencian kaum. Adakah kerajaan berbuat sesuatu tentang perkara ini?," soal beliau.

Bagaimanapun, Joseph Salang menerangkan bahawa SKMK telah melakukan sesuatu yang terbaik tapi keputusan muktamad untuk mendakwa Namewee kerana menghasut tidak terletak kepada suruhanjaya.

"SMKM telah mengambil tindakan berhubung perkara ini tapi ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwanya di mahkamah.

Mereka hanya boleh menyiasat dan menghantar kertas hasil siasatan itu kepada Peguam Negara dan terpulang kepada beliau untuk mengambil tindakan terhadap Namewee.

"Kita tidak boleh berkata kementerian tidak melakukan apa-apa kerana kami telah mengambil tindakan.

Tapi saya percaya Peguam Negara telah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk bertindak terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.