Wawancara: Siapa pihak ketiga ganggu KDN: Umno-BN bimbang dakwaan Musa Hassan terbongkar!

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan yang mengesahkan terdapatnya pihak ketiga yang mengganggu tugas-tugas polis. Siapakah? Dengan samar beliau mendedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Namun, tiada sebarang tindakan dilakukan kerajaan. Musa yang masih berjawatan KPN membangkitkan perkara itu. Ada mesej tersirat yang patut rakyat persoal, tanya dan bongkar. Ia kes serius kerana melibatkan soal keselamatan negara. Ikuti pendapat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dalam memperkatakan isu ini dari sudut yang lebih lantang dan terbuka. Butirannya bersama Pengarang, TARMIZI MOHD JAM dan wartawan ANIS NAZRI serta SAADON AKSAH (English Section) yang menerjah ke rumahnya di Shah Alam baru-baru ini.

Baru-baru ini, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan telah mendedahkan kewujudan 'pihak ketiga' dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sehingga dikatakan mengganggu urusan polis bekerja. Apa reaksi saudara?


MOHAMAD SABU: Kita dah cakap lama, iaitu pihak polis ini bertindak tidak bebas dalam menyiasat satu-satu kes, terutama yang bersangkut-paut dengan jenayah. Jenayah perdagangan dan jenayah 'criminal'. Kita tengok contoh dari awal dulu, kes BMF dengan beberapa orang didakwa di Hong Kong, tapi tak ada seorang pun dari kes itu didakwa di Malaysia. Sedangkan kes itu kes Malaysia, sebab Bank Bumiputera 'direct' bawah Perdana Menteri. Sama juga macam Petronas. So... kita yakin polis kita tidak boleh pergi jauh dalam menyiasat satu hal yang bersangkut-paut dengan orang ketiga. Kenyataan Tan Sri Musa Hassan itu sudah terang lagi bersuluh sebab kenyataan dia itu kenyataan semasa dia masih KPN, bukan ketika dia sudah bersara. Dan dia kata, lebih kurang la... "polis tak dapat jalankan tugas dengan sempurna kerana ada pihak ketiga..." Yang lebih teruk lagi dia kata, "kami bukan orang upahan..." Upahan di sini sudah tentulah bukan bermaksud gaji dan elaun. Daripada pendedahan itu, bagi saya ia satu perkara yang besar, yang rakyat kena tuntut untuk tahu bahawa soal jenayah begitu terancam. Dalam kata lain, polis gagal menjalankan tugas kerana gangguan pihak ketiga.

Boleh dijelaskan sedikit kes-kes yang macam mana dikatakan polis gagal bertindak?

Saya ada sebut sedikit dalam tulisan baru ini, contoh-contoh yang kita boleh tengok. Kes pembunuhan Mustakizah Jaffar, kita tak tahu. Kita dengar macam-macam. Tapi polis tak dapat siasat dan dakwa sampai hari ini pembunuhan kes itu. Kemudian katanya, kes pembunuhan anak bekas Menteri Kerja Raya yang melibatkan pembunuhan seorang artis. Kita pun tak tahu hujung pangkal. Lebih jelas lebih terang lagi kes Altantuya Shariibuu. Kalau polis lah, bukan kalau lagi...memang polis yang bunuh Altantuya seperti yang didedahkan di mahkamah. Sudah tentulah polis tidak bertindak sendirian, mesti atas arahan pihak atasan. Termasuk menghilangkan dokumen keluar masuk Altantuya dan sebagainya. Apa yang kita lihat, Malaysia ini dah ditadbir oleh sekumpulan mafia yang menguasai polis.

Apakah ada kecenderungan seteruk itu?

Saya dah sebut dalam ucapan saya berkali-kali. Kita bimbang Malaysia jadi macam negara-negara Amerika Latin, yang dikuasai tauke-tauke dadah. Dalam hal kehakiman, kepolisian, dan sekarang ini kita lihat perkara itu jelas dengan pengakuan Musa Hassan sebab dia cakap itu ketika dia masih lagi KPN.

Malaysia terkenal dengan judi. Adakah tauke-tauke judi boleh menguasai polis?

Judi memang tersohor di Malaysia. Judi berlesen dengan judi haram. Judi haram ini, empat lima kali ganda beroperasi dari jumlah wang yang teredar dalam judi berlesen ini RM5 bilion. Bererti judi tidak berlesen boleh pergi sampai RM 20 bilion. Adakah wang ini... tauke-tauke menguasai polis di Malaysia? Pernah Timbalan Kementerian Dalam Negeri berperang, bertikam lidah dengan polis, Johari Baharom (Dato' Johari Baharom). Di antaranya, masalah penangkapan dan penahanan tauke-tauke dadah yang besar.Jadi kita tengok di sini betapa seriusnya keadaan keselamatan negara kita. Tambahan pula bila kita lihat kes Sosilawati menjadi gempar.

Apa persepsi saudara dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati ini dengan pihak polis?

Pertama kedudukan beliau sebagai seorang jutawan, punya kenalan yang banyak dan sebagainya, jadi heboh. Tapi, pembunuhan sebelum itu terlalu banyak. Melibatkan banyak orang yang hilang. Ditenggelamkan begitu sahaja terutamanya kalau melibatkan gadis gro, penyanyi kelab malam. Setengah orang kita pula, bila ada gadis GRO mati... "alah padan la dengan dia..." Bukan tugas kita ambil nyawa sesiapa walaupun dia pelacur. Yang boleh ambil nyawa ini hanya mahkamah melalui perbicaraan. Kalau dia sesiapapun, pelacur, GRO pun tak boleh kita hanya tengok mayat ini terdampar. So, kita nampak sindiket jenayah ini telah bermaharajalela dan menguasai polis. Dan ini yang kita nampak. Bila kes Sosilawati ini, lagi terdedah kononnya ada tawaran RM1 juta yang mengaku polis. Adakah polis sungguh? Atau siapa?

Jadi, apa syor saudara terhadap kenyataan serius Musa Hassan yang dakwa ada gangguan pihak ketiga tadi?

Pengakuan Musa, bagi saya kena ada satu siasatan suruhanjaya. Siasat dan dedah untuk membetulkan kembali kepolisian di Malaysia sebab sistem kehakiman pun kita tahu begitu teruk. Polis pun teruk, sedangkan polis lah tempat cari bukti. Tidak boleh kenyataan Musa itu ditenggelamkan dengan isu Sosilawati.

Dulu pembangkang persoal Musa?

Soal latar belakang Musa, kita suka atau tidak itu soal lain. Tapi dia itu sebagai KPN, bukan bersara lagi masa buat kenyataan. satu kenyataan yang ada pihak ketiga hingga ganggu urusan polis. Itu serius. Saya harap kita ini, khususnya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dapat beri peranan yang cukup hebat dalam sidang akan datang untuk bertanya dan membongkar segala bentuk penyelewengan.

Adakah saudara akan berjumpa Musa?

Pada saya, kita seru Musa jangan berhenti setakat tarikh pencen kalau dia cintakan negara. Kalau musa cintakan negara, sayangkan agama dan bangsa, dia kena berani ke hadapan. Kalau tak ada ruang sesuai untuk bersuara, pilihlah mana-mana NGO atau parti dalam parti politik untuk terus menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan ada sebut kalau balai polis depan pejabat suspek utama kes Sosilawati pun tidak boleh nak hidu jenayah itu, apatah lagi Majlis Peguam. Tapi bukan itu soalnya. Soalnya adakah kemungkinan Polis Banting menjadi pelindung atau ada unsur sogokan dalam kes tersebut?

Kita boleh kata begitu. Banyak kes berlaku depan balai polis. Buat kad pengenalan palsu, jumpa depan Balai Polis Brickfields. Kita nampak ada keraguan yang munasabah terhadap polis Malaysia dalam banyak hal. Banyak perkara yang tak kena. Sebab itu saya kata dakwa kes Sosilawati itu wajib. Tapi perlu satu suruhanjaya sebab ia terlalu parah kerana bersangkut-paut dengan soal keselamatan negara yang kita tidak boleh tolak-ansur. Banyak lagilah termasuk kes siasatan lain yang kadangkala hilang di tengah jalan.

Bukan kerja Majlis Peguam nak siasat ahlinya buat jenayah atau tidak. Tapi ada cuba buruk-burukkan badan itu...

Itu ramai yang tidak faham. Ia untuk mengawal akhlak atau profesion ahlinya. Begitu juga kita nampak seolah-olah kecenderungan pemerintah nak tolak isu ni kepada perkauman. Tidak kena langsung. Bagi kita jenayah itu jenayah. Pembunuhan Altantuya bukan perkauman, pembunuhan Mustakizah bukan perkauman, rogol dan bunuh Nurin bukan perkauman. Ini jenayah. Jangan cuba bawa jadi isu perkauman. Jika bawa ke situ, kita tidak akan fokus.

Tapi isu perkuaman sudah diarak Pekida dengan demonstrasi, sepanduk untuk tunjukkan Majlis Peguam dikuasai India, kes ini kes India. Apakah motif di sebalik itu?

Semua hal cuba dibawa kepada isu perkauman termasuk isu khutbah di Pulau Pinang yang mendoakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terbuka hati untuk memeluk Islam. Semua dibawa ke arah itu. Kita nampak demo semua itu macam ada tangan di belakang. Sebab inilah senjata yang Umno ada untuk pulihkan kedudukan mereka. Kita nampak memang kalau penjenayah di kalangan India, kita tak boleh kata orang India bunuh orang Melayu. Kita ada Mokhtar Komando, kita ada banyak jenayah dilakukan oleh pelbagai kaum. Adakah... bila kita ambil contoh Altantunya, Polis bunuh dia. Kita nak letak apa tu? Melayu anti-Mongolia? (Ketawa). Jenayah itu jenayah. Kita kutuk la siapa yang nak bawa isu jenayah kepada perkauman. Tiada kena-mengena, bahkan timbul isu orang India hilang, cuma mereka orang biasa jadi tak ada la jadi tumpuan. Tapi takkan sampai kena orang tertinggi, baru polis nak bertindak.

Dengan kenyataan Musa Hassan itu menguatkan seolah-olah wujud sogokan atau unsur rasuah dalam PDRM. Bagaimana pula saudara melihat kadar rasuah di negara ini?

Rasuah jika dibanding dengan sekeliling tak teruk berbanding Indonesia. Tapi kalau dengan Singapura, New Zealand, Australia, Korea, Jepun dan Hong Kong... Hong Kong dulu boleh banding. Tapi lepas mereka buat IPCMC, indeks rasuah dia begitu menurun hingga Hong Kong lahir sebagai negara yang cukup maju. Kita buat juga, tapi tak jalan sebab pihak ketiga. Sebab itu kita kata Musa Hassan kena dedahkan walaupun nyawa melayang. Dia nak takut apa, dia pun dah tua... Ini soal halangan. Kalau itu pun dia gaduh dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN). KDN itu org politik lah...

Kalau kita boleh tafsirkan pihak ketiga itu...siapa agaknya pihak ketiga itu?

Pertama sekali orang politik pemerintah yang berkait dengan kenaikan pangkat mereka. Kedua, tauke-tauke yang biayai mereka yang boleh pengaruhi mereka. 'Tycoon' ini memang kuasai undang-undang. Mafia ini yang kuasai. Kalau Malaysia hendak ke tahap yang lebih baik, kena banteras itu (rasuah).

Secara jelas, Musa Hassan sebut pihak ketiga itu KDN. Adakah Hishamuddin (Dato' Hishamudian Tun Hussien) orangnya?

Dia tidak tuju kepada Hishamudian, ia sepanjang jalan. Yang jelas KDN. Ia menunjukkan kedudukan keselamatan negara sekarang terlalu kronik. Kes Sosilawati, kata dah selesai. Tiba-tiba esok ada kes baru, tak selesai lagi. Kemudian pergi ke Peguam Negara bila selesai, tiba-tiba tak selesai lagi. Banyak lagi yang kena ditimbulkan.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.