Keganasan Libya: Pemuda Pas serah memo pada kedutaan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Pusat menyerahkan memorandum kepada kedutaan Libya mengutuk sekerasnya kekejaman yang dilakukan pemerintah negara itu membunuh rakyatnya yang melakukan demontrasi menentang kerajaan.

Penyerahan memorandum diketuai Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abd Rani disampaikan kepada wakil kedutaan itu pada kira-kira jam 11.05 pagi.

Pada sidang medianya, Azman berkata Pemuda Pas mengecam keras tindakan kejam yang dilakukan pimpinan diktator Muammar Gaddafi.

“Kita yakin banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan kemelut politik Libya selain menggunakan peluru dan bom yang membunuh rakyat negara itu.

“Kita pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu,” katanya dilapor harakahdaily.

Kemuncak kekejaman kerajaan Libya sejak lapan hari lalu menyaksikan pasukan keselamatan melepaskan bom dan peluru dari jet pesawat dan helikopter kepada penunjuk perasaan.

Gaddafi semalam secara angkuh menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan dan sanggup ‘mati syahid’ bagi mempertahankan negara nya, meskipun menerima bantahan rakyat secara besar-besaran.

Diktator yang telah memerintah Libya selama 41 tahun itu juga mengarah polis dan tentera menghancurkan rakyat yang berdemonstrasi, malah memberi amaran menjejaki pemberontak ke setiap rumah dan inci ruang.

Sejak tercetus bantahan rakyat lapan hari lalu, pemerintah Libya mengeluarkan angka korban akibat kekacauan adalah seramai 300 orang iaitu 189 orang awam manakala 111 lagi tentera.

Jumlah kematian yang tertinggi dicatatkan di bandar Benghazi terletak di timur negara itu, membabitkan kematian 104 orang awam. Manakala angka tidak rasmi menyebut jumlah kematian dilaporkan meningkat seramai 500 orang sejak rakyat turun ke jalan mengadakan demontrasi anti kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.