Kes Hasbie serlah Umno terlibat aktiviti wang haram

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yakcop, menunjukkan individu yang rapat dengan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) terlibat dalam aktiviti wang haram.

Bercakap kepada KeadilanDaily.com, bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) Malaysia, Mohd Nazree Yunus juga tidak menolak kemungkinan satu persatu kes berprofil tinggi melibatkan wang haram, mula memenuhi fail mahkamah.

“Saya tidak menolak jika tertuduh terlibat sama kerana Hasbie memegang jawatan Setiausaha Politik pada 2008 ketika Nor Mohamed adalah Menteri Kewangan Kedua,” katanya.

Hasbie hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Butterworth atas tuduhan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, setahun selepas ditemui bersama RM2 juta di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula dan membenarkan Hasbie diikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin.

Jika bersalah, Hasbie boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.

Baru-baru ini, Global Financial Integrity (GFI) mendedahkan berlaku pengaliran wang haram negara RM888 bilion antara 2000 hingga 2009

Mengulas lanjut, Nazree sambil meminta proses perundangan dilakukan secara telus, bimbang proses pendakwaan berprofil tinggi individu tertentu yang lazimnya mengambil masa panjang, terlepas dari hukuman.

“Bukan hari ini sahaja kita dengar ada kes berprofil tinggi melibatkan kroni Umno, tetapi banyak kes seumpama itu dilepaskan dari tuduhan seperti rasuah dan penipuan.

“Saya bimbang proses pendakwaan tidak dapat diteruskan kerana tiada keterangan saksi yang mungkin disabotaj. Contohnya, kes melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam, Tan Sri Eric Chia Eng Hock dan beberapa orang lagi.

“Kita mahukan keadilan, bukannya pesalah dibebaskan tanpa mengenakan apa-apa tindakan yang setimpal terhadap mereka,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.