Mahathir ‘pujuk’ Umno Johor bantu pulih projek jambatan bengkok

Oleh Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 7 Feb — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan dengan Umno Johor hujung minggu lalu dalam usaha menghidupkan semula idea membina “jambatan bengkok” bagi menggantikan Tambak Johor.

The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah memanggil satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian di mana Dr Mahathir telah meminta akar umbi memberi tekanan ke atas kerajaan pusat supaya meneruskan projek tersebut.

Pentadbiran Najib yang telah pun menekankan beliau mahu meneruskan hubungan mesra dengan Singapura kemungkinan tidak akan meneruskan projek itu tanpa persetujuan bersama republik tersebut.

“Respons tidak begitu ghairah,” kata seorang pemimpin bahagian yang menghadiri pertemuan itu kepada The Malaysian Insider.

Beberapa pemimpin negeri juga tidak menghadiri pertemuan tersebut termasuk Ahli Parlimen Johor Baru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad dan rakan sejawatannya dari Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Idea itu dilontarkan oleh Dr Mahathir ketika di peringkat akhir kepimpinannnya tetapi dibatalkan oleh pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pembinaan jambatan itu yang mempunyai ketinggian 25 meter dari tanah akan membolehkan bot serta kapal kecil berlayar dari Timur dan Barat Selat Tebrau.

Selepas bersara Dr Mahathir telah beberapa kali membangkitkan semula idea tersebut.

Pada Mei lalu misalnya, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.

Beliau berkali-kali menegaskan pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak dalam wilayah Malaysia.

“Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita,” katanya.

Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura, tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau pernah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor tetapi menghentikan rundingan itu selepas dua tahun menunggu jawapan daripada republik tersebut.

Hanya selepas itu katanya, beliau mencadangkan pembinaan jambatan bengkok yang tidak memerlukan persetujuan Singapura.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan bengkok itu dihentikan apabila Abdullah mahu terus berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus.

Dr Mahathir yang masih berpengaruh di kalangan Umno meskipun telah bersara pada 2003 tersinggung apabila Abdullah membatalkan projek tersebut dan terus mengenakan tekanan agar pentadbiran semasa meneruskan idea itu.

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak yang berhasrat untuk memulihkan hubungan dua hala dengan Singapura enggan membincangkan cadangan tersebut.

Sebaliknya perdana menteri berhasrat untuk membincangkan jambatan ketiga menghubungkan republik itu.

Najib juga telah menyelesaikan isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad lama berlarutan tahun lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Nur Jazlan juga mengesahkan pertemuan itu ada berlangsung tetapi beliau tidak menghadirinya kerana berada di Kuala Lumpur.

“Secara peribadi, saya tidak melihat bagaimana jambatan bengkok itu adalah sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Berdasarkan keputusan sehingga Julai lalu, pentadbiran Najib tiada hasrat untuk memulihkan idea jambatan bengkok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Katanya, kerajaan masih kekal dengan keputusan dicapai pentadbiran Abdullah sebelum ini.

Dr Mahathir juga mahu Najib meneruskan idea itu memandangkan perkara juga telah disentuh oleh Sultan Johor akhir Jun lalu.

“Dilaporkan bahawa Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor telah bertitah bahawa baginda suka untuk melihat jambatan menggantikan Tambak Johor.

“Demikian juga dititah oleh Al-Marhum Sultan Iskandar bahawa baginda hendak Tambak Johor diganti dengan jambatan.

“Saya tidak pernah dengar rakyat Johor kecuali seorang yang bersetuju kekalkan tambak dan kesesakan lalu lintas di Johor Baru kerananya. Demikian juga saya tidak dengar bantahan oleh rakyat Malaysia terhadap projek jambatan mengganti tambak Johor ini,” kata Dr Mahathir dalam tulisan blognya awal Julai lalu.

No comments

Powered by Blogger.