MB Selangor terima Khusrin SUK baru, beri tugasan pertama

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri – sekali gus dilihat mengakhiri kemelut berlarutan lebih sebulan.

Kedua-dua mereka mengadakan pertemuan rasmi di pejabat Menteri Besar di Tingkat 21 Bangunan SUK di sini, pukul 5 petang tadi.

Khalid berkata pertemuan itu diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar.

“Walaupun kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan dan Menteri Besar seharusnya berperanan dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyebut apa-apa tentang majlis angkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

Kenyataan itu berkata pada pertemuan tersebut, Menteri Besar mengarahkan Khusrin agar memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor, terutamanya yang terbiar dan bermasalah.

“Menteri Besar telah memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik,” katanya.

Khalid juga menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Khusrin dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu, yang pengumumannya dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan 27 Disember.

Kenyataan itu menambah, Menteri Besar turut mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah.

“Khusrin juga diminta meneruskan usaha-usaha kerajaan Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh mengganggu pendapatan kerajaan negeri, yang mana Kumpulan Semesta Sdn Bhd telah menunjukkan kejayaan cemerlang menerusi peningkatan pembayaran royalti yang berlipat kali ganda sejak 2008,” kata kenyataan itu.

Pada 27 Januari lalu, Khalid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan sulung dengan Khusrin hari ini dan ia akan disusuli dengan sidang akhbar bersama bagi menjelaskan kedudukan SUK yang pelantikannya selama ini tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun hanya kenyataan media dikeluarkan petang ini.

Pelantikan itu membawa kepada krisis perlembagaan termasuk usaha kerajaan negeri meminda Artikel 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar dalam urusan melantik tiga jawatan tertinggi negeri iaitu SUK, penasihat undang-undang dan pegawai kewangan negeri.

Usaha itu gagal kerana tidak cukup undi majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Khalid bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri akan tetap dengan usahanya untuk meminda perlembagaan negeri bagi memasukkan semula peruntukan tersebut, yang dipinda ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 1993.

No comments

Powered by Blogger.