Membaca Isyarat Daripada PRK

OLEH: ZAMSHA

NAIB Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat Pilihanraya Kecil (PRK) tidak lagi relevan dalam konteks politik Malaysia. Menurut beliau, PRK mengakibatkan banyak wang rakyat terpaksa dibelanjakan demi untuk menjayakan sesebuah PRK itu . Serentak dengan itu beliau mencadangkan apabila berlakunya kekosongan sesebuah kerusi baik di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), wakil dari parti penyandang hendaklah dilantik bagi mengisi kekosongan tersebut.

Pandangan Tuan Ibrahim itu sememangnya mempunyai asas bagi sesebuah kawasan yang wakil rakyatnya meninggal dunia. Namun, kemungkinan terdapat percanggahan pandangan dalam kes wakil rakyat yang sengaja menarik diri atau melompat parti. Barangkali untuk kes seperti ini, PRK boleh diadakan.

Rakyat tidak pernah mempertikaikan perbelanjaan yang sewajarnya digunakan oleh pihak yang berwajib demi untuk menjayakan dan melaksanakan sesebuah PRK, berdasarkan peruntukan yang terkandung undang-undang. Namun, kemarahan rakyat tentunya dapat difahami apabila ada pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan wang, harta dan segala kemudahan kerajaan untuk membantu parti- parti tertentu dalam sesebuah pilhanraya, baik Pilihanraya Umum (PRU) ataupun PRK. Pihak-pihak tersebut secara sewenang-wenangnya mencampuradukkan kepentingan kerajaan dengan kepentingan parti tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Kekerapan PRK di negara ini yang dikaitakan pula dengan curahan projek menimbulkan lelucon dalam kalangan rakyat yang mengharapkan wakil rakyat di kawasan mereka meninggal dunia, demi untuk merasai “nikmat dan rezeki” yang bagaikan hujan gugur dari langit. Malahan sudah kedengaran juga cadangan yang dihalakan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar setiap bakal calon yang ingin bertanding pada sesebuah pilihanraya diwajibkan menjalani pemeriksaan dan ujian kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit kronik.

Sudah tidak asing lagi dalam setiap kali PRK, rakyat dapat menyaksikan pelbagai peruntukan mengejut dicurahkan demi untuk memastikan undi rakyat berpihak kepada mereka yang punya kuasa. Mereka tanpa malu dan segan menawarkan pelbagai janji bagi mengumpan rakyat yang tidak mahu berfikir. Segala jentera kerajaan dikerah untuk kelangsungan hayat politik mereka. Pelbagai penyalahgunaan dilakukan secara terang-terangan.

Pada masa ini jugalah, musim untuk rakyat melihat wajah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Menteri dan lain-lain kelibat yang selama ini hanya dapat dilihat di lembar akhbar dan skrin televisyen. Demi undi mereka sanggup menurunkan darjat bersimpuh memakai kain pelikat dan baju cap pagoda sambil menjamah ubi kayu pada musim banjir. Mereka juga kelihatan begitu seronok menyingsing seluar meredah banjir bersama rakyat. Media akan menonjolkan mereka daripada pelbagai sisi yang menunjukkan merekalah sebenarnya pemimpin yang berjiwa rakyat. Manakala pihak pembangkang pula diconteng wajah dengan berita-berita yang negatif.

Semenjak 26 Ogos 2008 di Parlimen Permatang Pauh hinggalah tarikh 30 Januari 2011, iaitu PRK terakhir di DUN Tenang, negara telah menyaksikan 14 kali PRK. Satu lagi PRK bakal berlangsung di DUN Merlimau, Melaka yang dijangka berlangsung dalam bulan Februari sekaligus melengkapkan bilangan PRK menjadi 15 kesemuanya. Lima PRK peringkat Parlimen dan 9 PRK peringkat DUN telah dan bakal dilangsungkan. Yang menariknya, kesemua negeri terlibat dalam PRK kecuali Pahang dan Perlis.

Daripada 14 kali PRK yang telah diadakan, 8 kali dimenangi oleh Pakatan Rakyat ( PAS 4 kali, PKR 3 kali dan DAP sekali) sementara 6 kali dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Kecuali 3 kali PRK yang menyaksikan perbezaan keputusan antara PRU 2008 dengan PRK , 11 kali PRK menyaksikan status quo; iaitu parti-parti yang menang PRU 2008; juga menang pada PRK. BN berjaya merampas dua kerusi PR iaitu di Parlimen Hulu Selangor dan DUN Galas sementara PR yang diwakili PAS berjaya menakluk kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu.

Kemenangan terbaharu BN di Tenang iaitu di negeri Johor yang dianggap sebagai negeri “deposit tetap” BN selain Sabah dan Sarawak, dipercayai menambahkan keyakinan Pengerusi BN, Dato’Seri Najib Abdul Razak untuk mengadakan PRU ke-13 dalam tempoh yang tedekat pada tahun ini juga. Gerak-geri politik Najib semenjak kebelakangan ini membayangkan keghairahan beliau untuk mengadakan PRU serentak dengan Pilihanraya Negeri Sarawak yang mesti dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Keyakinan ini dikuatkan lagi dengan peningkatan majoriti yang diperoleh BN, biarpun Timbalan Perdana Menteri tidak semena-mena menyalahkan banjir sebagai penghalang cita-cita besarnya, untuk majoriti BN melepasi angka 5000. Kemenangan BN dengan majoriti 3,707 (meningkat 1215 berbanding PRU ke-12) sebenarnya bukanlah kemenangan yang boleh dibanggakan sangat berbanding modal yang telah mereka curahkan di kawasan tersebut hingga menyebabkan Tenang bukan sahaja banjir air malahan banjir janji. PRK juga adalah sebuah padang permainan yang sentiasa senget sebelah.

Walau apapun, selera dan kepercayaan pengundi Cina kepada PR di Tenang, nyata memberikan isyarat kecemasan buat BN terutama sekali di kawasan-kawasan bandar dan kawasan campuran. Jelas sekali orang Cina tidak mudah termakan momokan daripada UMNO dan sekutunya kepada PAS. Seperti kata Lim Kit Siang, BN khususnya MCA hanya dikhayalkan dengan kemenangan tiga daripada empat kawasan majoriti Cina, tetapi hakikatnya mereka lupa, mereka hanya berupaya meraih kira-kira 35 peratus sahaja undi kaum Cina. Hal ini sebenarnya meresahkan BN yang sebenarnya masih kalah dalam kemenangan dan membuatkan senyum mereka tidak sempurna. Manakala PR pula sewajarnya lebih gigih mendekati pengundi Melayu terutama di kampung tradisional dan kawasan Felda.

No comments

Powered by Blogger.