Pelajar lemas tarik tali kail lekat

PASIR MAS: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1, ditemui lemas dipercayai tergelincir ketika cuba menarik tali kailnya yang tersangkut dalam tali air di Kampung Kubang Pak Amin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, mangsa, Mohamad Loqman Alias, 14, dikatakan memancing bersama seorang sepupu dan tiga rakannya di kawasan tali air berkenaan.

Ibu mangsa yang juga kakitangan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Noriah Salleh, 50, terkejut dengan kejadian menimpa Mohamad Loqman sebaik menerima panggilan anak perempuannya, Nurul Atirah Alias, 20, memaklumkan perkara itu.

“Sebaik selesai menunaikan solat Zohor, saya mendapat maklumat berhubung kejadian itu lalu bergegas pulang ke rumah dan melihat sepasukan anggota bomba dan penduduk kampung sedang mencari Mohamad Loqman," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Pasir Mas, di sini, semalam.

Noriah berkata, beliau terkilan kerana tidak sempat membelikan sebuah komputer kepada Allahyarham anaknya seperti dihajatkan.

“Allahyarham pernah meminta saya membelikan sebuah komputer kepadanya tetapi terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaannya,” katanya berhasrat mengebumikan jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sakar.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Ab Kadir Che Ya, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 2 petang.
"Operasi mencari petang tadi (semalam) berjaya menemui mangsa kira-kira jam 2.30 petang," katanya.

No comments

Powered by Blogger.