Perarakan bantah campurtangan Amerika Jumaat ini

Norutul Ilham

Kuala Lumpur: Pemuda PAS Pusat akan mengadakan perhimpunan secara aman bersama gabungan Parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantah sikap Amerika melindungi sekutu rapatnya di Mesir, Hosni Mubarak.

“Kita akan menghantar memorandum meminta Kerajaan AS supaya berundur daripada bayangan kerajaan Mesir selain mendesak AS tidak campur tangan dan membiarkan rakyat Mesir yang membuat keputusan serta mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan,” kata Ketua penerangan DPPP, Suhaizan Kaiat.

Menurutnya, himpunan yang dinamakan sebagai Perhimpunan Kebangkitan Bersama Rakyat Mesir (PKBRM) itu akan bergerak dari Masjid As-syakirin ke kedutaan Amerika Syarikat (AS) selepas solat Jumaat.

Menurut Suhaizan, beliau turut mengajak parti komponen Umno dalam Barisan Nasional supaya menyertai perarakan yang akan dianggotai 50 NGO.

“Kita akan berarak secara aman untuk menghantar memorandum itu kepada kedutaan AS dan salinannya dihantar kepada kedutaan Mesir kerana minggu lepas mereka tidak mahu terima,” kata Suhaizan ketika mengadakan sidnag media di Ibu Pejabat Pas tengahari tadi.

Sementara itu, Suhaizan berkata tindakan untuk mengadakan perarakan tersebut juga bagi menyatakan sokongan rakyat Malaysia terhadap penentangan rakyat Mesir yang bangkit menggulingkan pemimpin kuku besi, Hosni Mubarak.

“Kami sebagai masyarakat seagama menyokong tindakan mereka dan akan mengadakan pertemuan khusus dengan NGO di peringkat Asean untuk memberikan kenyataan ringkas sebagai sokongan berhubung kebangkitan rakyat Mesir.

Katanya, perarakan dan perhimpunan secara aman itu akan berlangsung lebih kurang satu hingga dua jam. Beliau turut mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia yang prihatin dengan perjuangan rakyat di Mesir.


Semalam, Angkatan Muda Keadilan, menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam demontrasi besar tersebut.

No comments

Powered by Blogger.