PRK bukan indikasi

Oleh Mohd Rashidi Hasan

BANYAK rumours diperkatakan tentang tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal menjadi penentu masa depan Umno-Barisan Nasional.Tempoh akhir bagi kerajaan Umno-BN yang mendapat mandat semula memerintah negara pada Mac 2008, hanya akan berakhir pada Mac 2013.

Bermakna Umno-BN masih ada tempoh dua tahun lagi untuk menyempurnakan mandatnya.Ada yang mengatakan PRU akan diadakan serentak dengan PRU Negeri Sarawak.


Malah ada juga yang mengandaikan BN terpaksa mengadakan PRU tahun ini juga walaupun mandatnya masih jauh disebabkan keadaan ekonomi yang semakin meruncing.

Apa pun pandangan dan andaian terhadap PRU, wujud kerana Malaysia tidak mempunyai sistem pilihan raya yang terancang dan telus seperti negara-negara lain yang sudah menetapkan PRU mereka, setiap lima tahun sekali.

Tarikh PRU di Malaysia adalah hak eksklusif seorang Perdana Menteri. Hanya beliau sahaja yang mengetahui tarikh sebenarnya.

Tarikh PRU sebenarnya bergantung sejauhmana keyakinan Perdana Menteri, bahawa Umno-Barisan Nasional mampu untuk mendapat semula daripada rakyat.

PRU Mac 2008 memberi pengajaran yang cukup besar buat Umno-BN, menyedarkan mereka bahawa tiada lagi istilah dominasi politik terhadap rakyat.

Akibat daripada tercalarnya imej Umno-BN, maka selepas Mac 2008, BN cuba membuat perubahan dengan menggesa Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, berundur untuk digantikkan dengan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Najib yang mengambil alih pemerintahan pada April 2009 cuba untuk membuat beberapa perubahan dalam sistem pentadbiran dan politik negara.

Najib memperkenalkan program 1Malaysia, ETP dan sebagainya yang cuba diperlihatkan sebagai reformasi politik untuk memenangi semula hati rakyat.

Namun, berdasarkan maklumat yang diperolehi dari dalaman Umno-BN, selepas hampir dua tahun berlalu, semua program yang dicanangkan Najib, masih tidak ada kesan yang positif untuk Umno-BN.

PRK bukan indikasi

Sedikit kesan positif, kononnya diperolehi daripada beberapa siri PRK yang dimenangi Umno-BN sejak akhir-akhir ini. Antaranya adalah Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Tenang.

Ada petunjuk yang sedikit menyedapkan hati Umno, iaitu sekitar 3 hingga 5 peratus pengundi Melayu, dikatakan sudah kembali kepada BN.

Oleh sebab itu, sejak selepas PRU 2008, Umno terus memainkan isu Melayu dan cuba untuk memprovok orang-orang Melayu, bahawa ketuanan mereka akan tercalar jika Pakatan Rakyat menguasai negara.

Provokasi dan memomokan Umno-BN ini nampaknya ada memberi sedikit kesan, kepada golongan muda dan middle-class yang dikatakan mula terpengaruh dan tergugat.

Namun selaku PM, Najib sedar bahawa PRK bukan indikasi sebenar, kekuatan Umno-BN sudah pulih atau mereka sudah diterima rakyat.

Sebaliknya, indikasi dari beberapa siri PRK juga menunjukkan bahawa pengundi Cina kekal menolak BN dan terus menyokong Pakatan Rakyat.

Najib menyedari bahawa kemenangan yang diperolehi pada PRK tersebut, hanyalah disebabkan lambakan wang dan projek. PRK mudah dikuasai dan dikawal Umno-BN kerana ia adalah lokasi yang kecil.

Tambahan pula seluruh jentera kerajaan dikerah membantu untuk memenangkan Umno-BN. Mereka boleh menang kerana mereka boleh memusatkan fokus.

Oleh sebab itu, di benak fikiran Najib, apa yang Umno-BN lakukan untuk memenangi PRK, tidak boleh dilakukan ketika menghadapi PRU.

Kerana pada saat itu, masing-masing pemimpin terpaksa berkubu di kawasan sendiri. Bagaimana jentera kerajaan hendak dikerahkan sepenuh, juga menjadi masalah kepada Umno-BN

Pertemuan dengan MP

PM Najib tidak mempunyai pilihan lain, selain cuba mendapatkan feedback dari seluruh negara untuk membolehkan beliau mengukur sejauhmana kekuatan Umno-BN.

Mula-mula beliau menemui semua Ahli Parlimen BN. Ahli Parlimen (MP) Umno-BN terpaksa beratur macam budak-budak sekolah untuk berjumpa PM.

Sekali masuk tiga orang MP. Seorang MP diberi masa lima minit untuk berbicara dengan PM.

Hampir semua MP merungut masa yang diberikan kepada mereka terlalu singkat. Mereka tidak dapat bercakap one-by-one dengan PM. Mereka tidak dapat meluahkan segalanya depan Najib kerana PM sentiasa ditemani Setiausaha Agung Umno.

Banyak MP merungut bantuan dan peruntukan untuk mereka 'maintain' kawasan parlimen tidak diperolehi. Mereka tidak mampu menghadapi tekanan dari Pakatan Rakyat. Mereka memerlukan dana dari Umno-BN, tetapi dalam keadaan sekarang, semuanya terhad dan terbantut.

Banyak projek politik Umno-BN tidak berjalan di kawasan parlimen kerana kerajaan sudah tiada wang. Apabila tiada wang, maka kerja politik Umno-BN tidak dapat dilaksanakan.

Malangnya, perjumpaan PM dengan MP tersebut tidak dapat menghasilkan apa-apa manfaat kepada kedua-dua pihak. Ianya hanya sekadar suatu pertemuan biasa, seumpama murid-murid sekolah mengambil report card dengan guru sahaja.

Pertemuan dengan Ketua Umno Bahagian

Situasi yang sama dihadapi ketika Presiden Umno berjumpa dengan Ketua-Ketua Bahagian, masa yang amat singkat dan masuk sekali ramai.

Masalah timbul pada pertemuan Najib dengan Ketua Umno Bahagian ialah masalah politiking dalaman Umno di peringkat bawahan yang banyak tidak selesai.

Najib terpaksa berhadapan dengan pergaduhan Ketua Perhubungan Umno Negeri Perlis, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dengan Ketua-Ketua Umno Bahagian.

Masalah Umno di peringkat akar umbi banyak tidak selesai. Pergaduhan Ketua Bahagian dengan Menteri Besar atau Ketua Umno negeri berlaku secara terbuka.

Hasil daripada perbalahan ini berlaku banyak masalah, antaranya jentera Umno di peringkat negeri dan bahagian tidak dapat bergerak. Malah ada yang 'jam' terus.

Walaupun masa pertemuan dengan Ketua Bahagian Umno agak singkat,

menurut sumber, ianya cukup untuk memberi kefahaman kepada beliau, bahawa Umno sehingga kini, masih belum bersedia untuk menghadapi PRU.

Pertemuan dengan BN Sarawak

Selain itu Pengerusi BN itu turut mengadakan pertemuan dengan BN Sarawak.

Masalah timbul kepada Pengerusi BN adalah bagaimana dengan menangani kemarahan beberapa buah parti komponen terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud.

Ada antara mereka, misalnya SUPP berbalah dengan KM kerana Taib dikatakan hendak mengetepikan calon mereka pada PRU Negeri yang dijangka berlangsung bila-bila masa.

Taib dikatakan membuat kenyataan terbuka, mahu meletakkan calon pilihannya di kawasan SUPP, kerana pada PRU lepas calon SUPP banyak tewas ditangan calon DAP.

Isu campur tangan Taib terhadap kouta SUPP ini termasuk beberapa yang lain, agak memeningkan kepada Pengerusi BN.

Masalah di Semenanjung

Bukan sahaja di Sarawak. Pengerusi BN juga menghadapi masalah yang sama di Semenanjung.

Selain daripada perbalahan soal kaum dan kuota dengan MCA, Gerakan dan MIC. Najib turut berhadapan dengan tuntutan dan permintaan dari parti-parti baru di bawah naungan BN.

Antaranya Makkal Sakhti, Parti Cinta Malaysia dan Kimma. Itu belum lagi termasuk PPP yang sentiasa dipinggirkan sejak dahulu lagi.

Jika Najib mengekalkan status quo, iaitu kawasan yang ditandingi komponen kekal seperti formula 2008, bagaimana parti-parti baru ini hendak mendapat peluang?

Jika Najib hendak memberi peluang kepada parti-parti baru ini, kerusi komponen manakah yang hendak dikorbankan?

Sudah tentu Umno, MCA, Gerakan dan MIC sukar hendak compromise. Tiada parti yang sanggup mengorbankan kawasan yang mereka tandingi.

Justeru pada pendapat penulis, pada waktu ini, Najib masih terlalu calculative. Walaupun pada pemahamannya, Najib berkuasa mutlak untuk menentukan calon-calon BN, Najib juga tidak berani dipersalahkan jika komponen BN memberontak dan akhirnya menyebabkan calon pilihannya tewas kepada Pakatan Rakyat.

Sekacar keseluruhannya walaupun ada pandangan penganalisis bahawa persepsi terhadap PM Najib agak tinggi, namun persepsi rakyat terhadap kemampuan Umno-BN secara keseluruhannya masih ditahap membimbangkan beliau.

Pada masa ini, komponen BN masih belum terurus. Pada masa ini MP dan wakil-wakil rakyat Umno-BN, masih gagal berfungsi dengan baik kerana mereka tidak mendapat peruntukan untuk diagihkan kepada rakyat. Pada masa ini, masalah komponen BN di Sarawak masih belum dapat diselesaikan.

Pada masa ini juga, masalah dalaman Umno, khususnya melibatkan Ketua Perhubungan dan Ketua Umno Bahagian, masih banyak yang kelam kabut dan tidak selesai.

Najib sedar bahawa beliau tidak boleh mengharapkan jentera Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya pada PRU akan datang.

Buat masa ini Najib terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan dan media tali barut Umno-BN untuk mempamerkan kekuatan BN yang artifical.

Pencacai jadi sandaran

Oleh sebab itu, Najib tidak boleh mengharapkan pemimpin Umno-BN untuk berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Najib tidak mempunyai pilihan, selain menggunakan pencacai-pencacai dan minah ronggeng yang sudah tidak laku untuk menyanyikan lirik-lirik lapuk.

Ezam Mohamed Noor, Lokman Noor Adam, Umi Hafilda Ali, entah siapa lagi yang hendak diberi prime time dalam laporan berita untuk memaki hamun Anwar dan keluarga.

Apakah Najib berfikir bahawa rakyat Malaysia hendak mempercayai segala cerita-cerita lapuk, drama tahun 1998 untuk ditayangkan semula pada 2011 ini?

Lagi bodoh seorang daripada mereka, Lokman mendedahkan Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjadi isteri TPM Anwar, memakai pakaian yang berharga ribuan ringgit.

Apabila Lokman membangkitkan isu kemewahan ini, maka rakyat kembali bertanya kepada Umno-BN, bagaimana yang isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikenali gemar bershopping mewah dan boros?

Bertimbun fakta yang dikemukakan tentang pembaziran dan pemborosan Rosmah, sehingga kini tidak dijawab secara telus oleh pemimpin Umno-BN.

Menggunakan pencacai upahan seperti Lokman, Umi dan Ezam, hanyalah ibarat 'meludah ke langit, jatuh berterabur ke muka Najib dan Rosmah'.

Jelas tindakan Najib, pemimpin Umno-BN menggunakan pencacai-pencacai ini, hanya merupakan langkah terdesak dalam menghadapi kekuatan Pakatan Rakyat.

Walaupun diserang segenap sudut, Pakatan Rakyat tetap utuh. Sebaliknya Umno-BN ibarat tongkang buruk yang hampir karam.

Buat masa ini jelas, Umno-BN masih tidak bersedia berhadapan dengan Pakatan Rakyat, jika PRU diadakan dalam waktu yang terdekat.

No comments

Powered by Blogger.