Profesor Kangkong

Speaker Selangor usah kecewa, kesal

Oleh Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Kim perlu menghormati keputusan mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Badrul Hisham Abdullah kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, berkata sebagai Speaker, Teng sepatutnya faham undang-undang dan memberi kepercayaan 100 peratus kepada mahkamah.
Katanya, walaupun sedih, kecewa dan kesal kerana kalah dalam perbicaraan, reaksi Teng dalam isu berkenaan tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi beliau adalah penggubal undang-undang yang sepatutnya menghormati mahkamah

“Perlu diingat dalam sistem demokrasi tiada siapa lebih tinggi daripada undang-undang,” katanya ketika mengulas reaksi Speaker DUN Selangor itu yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah mengekalkan kedudukan Badrul Hisham selaku ADUN Pelabuhan Klang.

Pada 19 Januari lalu, Teng mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong selepas mendakwa Badrul Hisham tidak hadir sidang DUN selama enam bulan bermula Julai 2010 hingga Januari 2011.

Dr Shamrahayu berkata, memang menjadi hak Speaker DUN untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi mana-mana DUN mengikut budi bicara dan pertimbangannya, tetapi dalam negara yang mengamalkan demokrasi, tiada pelaksanaan kuasa mutlak.

“Sebaliknya, mekanisme menjalankan tugas sebagai Speaker masih tertakluk kepada undang-undang. Undang-undang tetap jadi asas dan pertimbangan dalam menentukan kedudukan seseorang ADUN itu.
“Dalam kes ini, saya nampak keputusan mahkamah berasas penggubalan undang-undang sedia ada yang mengimbangi keputusan dibuat Speaker DUN berkenaan. Selaku Speaker, Teng sepatutnya menjalankan tugas tanpa prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.

Seorang lagi Pakar Undang-Undang Perlembagaan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata seseorang Speaker itu memang mempunyai kekebalan mengikut peruntukan Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan, namun kekebalan itu tidak bererti tidak boleh dicabar dalam mahkamah.

“Speaker boleh mengumumkan kekosongan kerusi DUN, namun ia perlu selaras peraturan dan peruntukan undang-undang tubuh negeri. Jika bercanggah ia boleh dicabar di mahkamah dan keputusan mahkamah perlu diterima,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.