Putrajaya salur sekolah RM2.4b di sebalik spekulasi PRU13

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

PUTRAJAYA, 10 Feb — Pentadbiran Najib memperuntukkan RM2.492 bilion bagi sekolah dan jabatan pelajaran di seluruh negara — dilihat langkah terbaru menarik sokongan kakitangan awam dan ibu bapa menjelang pilihan raya umum dijangkakan tahun ini.

Bantuan kewangan itu akan disalurkan kepada 16 jabatan pendidikan negeri, tujuh bahagian Kementerian Pelajaran, termasuk unit pendidikan Islam dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Jabatan Pendidikan Sarawak menerima dana terbanyak, berjumlah RM394 juta manakala Jabatan Pendidikan di Putrajaya mendapat jumlah paling sedikit.

Difahamkan tujuan bantuan kewangan itu adalah untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan “merapatkan jurang antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar, mereka yang miskin dan golongan berada.”

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk memberi ganjaran kepada pengetua dan guru yang cemerlang, yang telah berjaya mengatasi sasaran Bidang Hasilan Utama Kebangsaan (NKRA).

Seramai 924 pengetua sekolah telah disenaraipendekkan dan akan mendapat RM7,500 setiap seorang.

Lima peratus guru daripada sekolah dipimpin pengetua-pengetua terbabit, yang menunjukkan perkhidmatan yang baik akan menerima RM1,800 setiap seorang dan guru-guru lain akan menerima RM900 setiap seorang.

“Ganjaran kewangan berdasarkan prestasi adalah sesuatu yang baru, yang mana tidak pernah dilihat dalam sejarah perkhidmatan awam kita,” katanya.

“Tetapi kami merasakan ini adalah tawaran yang baru,” kata Muhyiddin pagi ini.

Pakatan Rakyat (PR) dan juga Barisan Nasional (BN) terus berlumba-lumba menyenaraikan insentif-insentif masing-masing dalam kempen mereka menarik sokongan pengundi khususnya pengundi muda dan sokongan sokongan kakitangn awam ketika spekulasi meningkat bahawa pilihan raya kemungkinan akan dipanggil tahun ini.

No comments

Powered by Blogger.