Tuduhan Anwar pengganas jadi bahan jenaka

PETALING JAYA: Tuduhan mengatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dengan aktiviti keganasan menjadi bahan jenaka dan gurauan rakyat di negara ini.

Buktinya, ceramah jelajah pimpinan KEADILAN yang diadakan di Taman Medan, Petaling Jaya semalam, apabila isu Anwar sebagai ‘pengganas’ mengundang jenaka di kalangan yang hadir.

“Saya teringat filem Shahruk Khan, my name is Khan. Im not a terrorist.

“My name is Anwar, Im not a terrorist,” ulang Anwar meniru lakonan dalam filem Blockbuster Bollywood, My Name is Khan sambil disambut gelak ketawa orang ramai.

Serentak itu, imej Anwar berserban ‘ala taliban’ ditayang melalui satu layar besar di belakang beliau, menjadikan suasana lebih gamat dengan gelak ketawa orang ramai.

Anwar merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, bahawa beliau sedang disiasat kerana disyaki mempunyai hubungan dengan sebuah kumpulan pengganas yang dibiayai individu di Arab Saudi.

Sambil berseloroh, Anwar berkata sekiranya gambar itu ditunjukkan kepada Hishamuddin Hussien, pasti beliau akan dikaitkan dengan kegiatan keganasan di timur tengah itu.

Hishamuddin sebelum ini mengulas laporan CNN yang mendakwa siasatan dijalankan Arab Saudi berhubung aduan perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa ada individu di negara itu yang membiayai Anwar bagi tujuan keganasan.

Bagaimanapun laporan CNN mendakwa siasatan yang dijalankan Arab Saudi tidak menunjukkan sebarang bukti wujud hubungan tersebut.


Pimpinan KEADILAN mengecam tindakan kerajaan yang bertujuan memburukkan imej Anwar dan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan tuduhan Anwar sebagai agen asing dan pengganas.

No comments

Powered by Blogger.