Ulamak Besar Umno, Sheikh Sembab Bersuara

TPM: Kempen Hari Kekasih PAS melampau, Jakim hanya nasihat Muslim


KUALA LUMPUR, 12 Feb – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya orang ramai menjauhi acara bertemakan sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine Isnin ini, hanya ditujukan untuk masyarakat Islam.

Timbalan Perdana Menteri berharap isu ini tidak menimbulkan kekeliruan dan perasaan curiga antara kaum di negara ini kerana dari sudut Islam sambutan itu tidak sesuai diraikan oleh umat Islam.

“Nasihat itu adalah untuk memberitahu bahawa dari sudut agama Islam ia (sambutan Hari Kekasih) tidak sesuai, tetapi ia tidak bermakna kita hendak merendah-rendahkan Hari Kekasih atau tidak menghormati kaum lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesranya terhadap perkhidmatan awam di Kuala Lumpur hari ini.

Dipetik Bernama beliau berkata: “Ada amalan yang mungkin dianggap orang lain sesuai tetapi dalam Islam tidak sesuai kerana ada amalan dan kaitan sejarahnya itu tidak sesuai bagi masyarakat Islam. Saya harap perkara ini tidak menjadi perkara yang boleh menimbulkan perasaan curiga.”

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz semalam yang menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Menyentuh mengenai tindakan Pemuda PAS mengadakan kempen “bebas dosa” sempena Hari Kekasih di keempat-empat negeri di bawah pentadbiran PAS-DAP-PKR esok dan Isnin ini, Muhyiddin berkata tindakan itu agak keterlaluan.

“Sebagai orang Islam, kita tekankan nasihat. Jangan sentuh perasaan lain-lain kaum yang sudah jadikan sambutan ini amalan mereka”, katanya.

Beliau berkata tindakan itu hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang mungkin merasa ada pihak yang mahu mengekang aktiviti mereka.

Cadangan Pemuda PAS itu bagaimanapun ditolak beberapa pihak dalam parti, termasuk PAS Selangor yang menyifatkan kempen seumpamanya tidak perlu dikhaskan pada hari tertentu sahaja.

Dalam pada itu, Wan Mohamad berkata, “amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”

“Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal

“Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata beliau.

“Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day malam tadi.

Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.

“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.

Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.

“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.

Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.

Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.

“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.

Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.

Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.

“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.

Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.

“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.

“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.

Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih Isnin ini.

“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ianya adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad dipetik Bernama.

No comments

Powered by Blogger.