Ahli perniagaan Melayu kecam Teraju gerak ‘macam kura-kura’

Oleh Clara Chooi


SHAH ALAM, 23 Julai — Sekumpulan ahli perniagaan Melayu hari ini secara terbuka mengecam pentadbiran Najib ‘dingin’ dalam melaksanakan inisiatif pro-Bumiputera sambil mendakwa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bergerak terlalu perlahan sejak ia dilancarkan Februari lalu.

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem), sebuah badan yang terdiri daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan ekonomi Melayu, mendakwa unit yang berusia enam bulan itu telah gagal membawa sebarang hasil dalam memperbaiki penyertaan Bumiputera dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan berbanding projek-projek yang dilancarkan oleh Pemandu.

“Pemandu dan Teraju tidak bergerak pada kelajuan yang sama. Teraju bergerak macam kura-kura,” kata Presiden Mapem Tan Sri Rozali Ismail kepada pemberita di sini hari ini.

“Ini sangat membimbangkan ... kami mahu mengambil bahagian dalam pertumubuhan ekonomi negara, kami mahu bersama Perdana Menteri membina negara ini, kami tidak mahu ketinggalan di belakang,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Mapem di sini hari ini.

Keadaan itu menurut beliau, akan menyebabkan jurang pendapatan ahli perniagaan antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera semakin melebar.

Pengkritik mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mencairkan Model Baru Ekonomi (MBE), yang diilhamkan oleh beliau sendiri, dengan mewujudkan Teraju, tetapi pegawai-pegawai pentadbirannya berkata ia perlu memandangkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi masih kekal kecil.

Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Teraju akan menjadi pemangkin dalam usaha mentransformasi agenda pembangunan Bumiputera bagi memastikan keupayaan golongan itu mampu dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

Nor berkata, Teraju sebagai entiti tunggal yang melapor terus kepada MTAB akan membolehkan strategi serta inisiatif pembangunan Bumiputera, yang sebelum ini dilakukan pelbagai kementerian dan agensi, dilaksanakan secara menyeluruh dengan perspektif yang meluas.

Katanya, langkah itu merupakan cerminan hasrat kerajaan untuk menambah baik strategi dan inisiatif di dalam agenda pembangunan Bumiputera.

Beliau berkata kerajaan sedar masih terdapat sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sehingga kini masih belum tercapai sepenuhnya dan antara factor dikenal pasti adalah disebabkan ketirisan di peringkat pelaksanaan dan bukan sebab kesilapan dasar.

Beliau berkata, Teraju akan merencana agenda pembangunan Bumiputera selaras dengan pendekatan baru yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketika melancarkan Teraju pada 8 Februari lalu, Najib berkata ia bertujuan memperkukuhkan lagi agenda pembangunan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata agensi itu akan berfungsi bagi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.

Teraju akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan, pembiayaan, pendidikan dan penggajian, penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan pihak-pihak berkepentingan, kata Najib.

Perdana Menteri berkata, Teraju juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk mengenal pasti program-program baharu supaya segala tindakan yang dilaksanakan dapat diselaraskan.

No comments

Powered by Blogger.