Kita semua jadi mangsa Umno BN

Suhaizan Kaiat

Sudah dua kali hak saya sebagai warganegara Malaysia dihalang untuk bebas bergerak dan bersuara.

Pertama pada 9hb Julai 2011 saya dihalang untuk berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan semalam saya pula dihalang untuk mengajukan soalan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Bin Wan Omar kononnya atas arahan orang atasan.

Walaubagaimana pun saya mengucapkan tahniah kepada Sinar yang telah menganjurkan “Dialog Apa selepas 9 Julai?” dengan mempertemukan Bersih 2.0 dan SPR. Bersih 2.0 telah dianggap sebuah pertubuhan haram oleh Menteri Dalam Negeri.

Secara tidak langsung Sinar sudah berani menyangah pandangan Menteri Dalam Negeri dan lebih mirip kepada pandangan Timbalan Menteri Pendidikan YB Saifuddin Abdullah yang menggangap Bersih 2.0 bukan sejenis pertubuhan tetapi sejenis aktiviti NGO yang berdaftar.

Sebenarnya saya mahu mengajukan beberapa soalan kepada Datuk Wan Ahmad iaitu berkaitan dengan Double Voting, Daftar Pemilih, Pengundi Pos dan Advance Voting.

Pada 7hb Oktober 2009 telah diadakan pertemuan antara SPR dan pemimpin PAS yang dianggotai oleh Dato Mustafa Ali , Dato Abdul Halim Abd Rahman, Tuan Hj Mohzit bin Mohid dan saya sendiri.

Pemuda PAS telah mengemukakan senarai 253 pengundi pos yang bertindan.

Mereka mempunyai nama sebagai pengundi pos di Bagan Pinang tetapi mempunyai nama yang sama di tempat lain. Pertindanan ini telah berlaku dalam pilihanraya umum 2008.

Dalam perbincangan itu SPR telah berjanji untuk menghapuskan pertindanan ini. Malangnya pertindanan ini masih lagi berlaku pada tahun 2011. Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia.

Saya mempunyai terlalu banyak bukti pertindanan ini.

Dalam kenyataan Dato Wan Ahmad kepada The Star pada 24hb Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah. Secara tidak lansung juga SPR telah mendaftarkan pengundi yang tidak sah. Itulah yang dinamakan pengundi hantu.

Persoalannya mengapa SPR menafikan pengundi hantu?

Walaupun saya tidak dapat mengajukan soalan tetapi soalan ini dapat disampaikan oleh Tuan Hj Mohzit Bin Mohid.

Malangnya Dato Wan Ahmad menjawab bahawa soalan itu hanya sesuai untuk kerani sahaja bukan ahli suruhanjaya diraja sepertinya. Beliau hanya bertanggungjawab terhadap dasar-dasar dalam SPR bukan membuat kerja kerani.

Sepatutnya Dato Wan Ahmad tidak memberi jawapan seperti itu. Terbukti jawapanya telah di “boo” oleh penonton. Persoalannya apakah dasar yang dipakai oleh SPR jika masih terdapat pertindaan pengundi walaupun telah ditegur pada tahun 2009?

Apakah dasar SPR membenarkan nombor kad pengenalan yang diklon dibenarkan masuk dalam daftar pemilih SPR yang sah?

Saya berpendapat bahawa SPR sebenarnya terperangkap dalam kerangka politik sempit Umno, Barisan Nasional. Pembaharuan yang mahu dibuat oleh mereka tidak mendapat sokongan pemerintah.

Contohnya apabila SPR memperkenalkan pengunaan dakwat kekal pada tahun 2008 maka Pengerusi SPR di ajukan dengan persoalan keselamatan negara yang tidak masuk akal.

Inilah bukti bahawa SPR sebenarnya bukan badan bebas untuk melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil. Sampai bilakah SPR mampu melepaskan ikatan daripada pemerintah yang zalim? Yang menjadi mangsa adalah kakitangan SPR seperti Dato Wan Ahmad yang terpaksa menjawab segala persoalan yang tidak mempunyai jawapan. Beliau sendiri pun tidak boleh menerima jawapan yang beliau sendiri berikan.

Itulah hakikat kerajaan zalim Umno Barisan Nasional yang wajib ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Bantahan saya kepada SPR selama ini adalah umpama pukul anak sindir menantu sahaja. Kita semua rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada kezaliman kerajaan Umno Barisan Nasional.

SUHAIZAN BIN KAIAT,

PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI DAN MOBILISASI, PEMUDA PAS MALAYSIA

KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

No comments

Powered by Blogger.