Tong sampah 1Malaysia – Oleh Wan Pok Wan Malini

27 JULAI – Bayangkan…jika tong-tong sampah yang berselarak di Kota Kuala Lumpur ini ditukar menjadi tong sampah 1Malaysia. Niat yang murni ini akan terserlah dalam bentuk faedah kepada rakyat jelata.

Antara faedahnya ialah ia akan mencantikkan kota Kuala Lumpur dengan tong-tong sampah yang baru siap dengan simbol 1Malaysia, menawan, beraneka corak dan bergaya sekali. Dan hasilnya, tong-tong sampah ini akan dilihat seragam sebagaimana tiang-tiang lampu mewah di Putrajaya.

Dengan cara itu, masyarakat kota akan mula sedar betapa pentingnya membuang sampah ke dalam tong sampah 1Malaysia. Maka berduyun-duyunlah rakyat dari segenap pelusuk kampung dan pekan akan datang ke Kuala Lumpur untuk membuang sampah ke dalam tong sampah 1Malaysia itu.

Malah pelancong-pelancong yang datang ke Kuala Lumpur juga akan berebut-rebut mengambil gambar bersama tong-tong sampah 1Malaysia, idea yang lahir dari benak Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Selain daripada itu, kontrak-kontrak membuat tong-tong sampah 1Malaysia yang baru ini akan diagihkan kepada kontraktor-kontraktor sahabat UMNO dan Barisan Nasional yang dapat menambah pendapatan mereka.

Mungkin juga akan lahir kontraktor-kontraktor baru yang bakal menjadi kroni UMNO- BN dari pelbagai bangsa sebagai manifestasi 1Malaysia. Inilah buah fikiran ‘glokal’ Najib.

Bersih

Bayangkan lagi…

Jika ada orang yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai yang terlanggar tong-tong sampah 1Malaysia ini hingga menyebabkan ianya rosak dan pecah. Maka orang-orang ini telah melakukan dua jenis kesalahan.

Pertama, kerana menyertai perhimpunan yang difatwakan haram oleh pemerintah yang takut kepada rakyat sendiri, dan kedua, kerana merosakkan imej dan idea 1Malaysia dengan cara memecahkan tong-tong sampah 1 Malaysia.

Di mana-mana mahkamah pun, sudah hampir pasti anda akan disabitkan dengan kesalahan jenayah yang ‘mengancam’ imej negara tercinta ini serta mengisytiharkan perang terhadap tong-tong sampah 1Malaysia.

Melanggar dan memecahkan tong-tong sampah 1Malaysia ini akan dituduh sebagai menjatuhkan maruah bangsa dan kerajaan. Malah ia bertentangan dengan Perlembagaan kerana melakukan kerja-kerja subversif dengan menjahanamkan tong-tong sampah 1Malaysia.

Bayangkan pula…

Para pemilik tong-tong sampah 1Malaysia ini, baik secara individu atau pun organisasi, akan mendesak organisasi Bersih atau Pakatan Rakyat untuk membayar pampasan kepada mereka kerana bukan sahaja telah merosakkan tong sampah 1Malaysia ini, malah memcacatkan keindahan kota Kuala Lumpur yang selama ini dihiasi oleh tong sampah Najib.

Maka muflislah Pakatan Rakyat kerana disaman oleh individu dan kerajaan dengan jumlah pampasan yang berjuta-juta itu.

Takut

Bayangannya…

Jika semua benda dan perkara yang ada di Malaysia hendak di ‘1Malaysia’kan oleh kerajaan, sudah pasti rakyat biasa yang berjalan ke mana-mana pun di Malaysia ini akan terpaksa berhati-hati agar tidak melanggar, merosak atau menyentuh segala benda fizikal atau perkara yang mungkin akan menjadikan mereka penjenayah 1Malaysia.

Kita semua akan berada dalam ketakutan kerana segala rutin harian akan terus dikaitkan dengan konsep 1Malaysia.

Kita takut kalau-kalau tidak makan makanan yang ada tanda halal 1Malaysia, jika tidak mungkin dianggap memakan makanan ‘haram’.

Hendak membeli dan memilih mesti di kedai 1Malaysia. Nak bercakap atau berbincang, kena faham dan kaitkan dengan agenda 1Malaysia dulu. Nak berkahwin pun kena buat majlis yang ada simbol 1Malaysia.

Jika tidak mengikut jalan ini, maka anda dianggap sebagai musuh 1Malaysia, yakni anti-kerajaan. Hal yang digambarkan sebagai anti kerajaan ini samalah dengan dakwaan penderhakaan yang sering dikaitkan oleh UMNO kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Hinggakan, mana-mana parti pembangkang yang berani berbahas menegur kerajaan di Parlimen akan dituduh sebagai anti 1Malaysia.

Salam

Bayangkan…

Salam atau berjabat tangan pun mungkin kena ada cara 1Malaysia, dengan mudah kita akan mengenal siapa yang 1Malaysia dan siapa dia yang bukan 1Malaysia. Mungkin salam satu jari sebagai lambang 1Malaysia.

Sesiapa yang didapati bukan dari golongan 1Malaysia, maka masa depan anda akan dicampakkan ke dalam tong-tong sampah 1Malaysia.

Jurang

Idea 1Malaysia ini penting kerana yang hanya benr-benar berjiwa 1Malaysia layak menikmati habuan kerajaan UMNO-BN. Tidak penting sama ada ia akan menjarakkan lagi jurang perbezaan antara kerajaan sebagai pemerintah dengan rakyat jelata yang berbeza pandangan dan pendirian.

Maka 1Malaysia ini sama dengan kata-kata George W. Bush Jr, “sama ada kamu bersama kami atau kamu musuh kami”.

Memang belum ada lagi tong-tong sampah 1Malaysia, tapi tak lama lagi mungkin wujud di seluruh pelusuk bandar dan pekan. Sekiranya ada antara kita yang menolak konsep 1Malaysia termasuk tong sampahnya, maka kita akan dianggap sebagai anti kerajaan dan tidak patriotik.

Tidak hairanlah jika Pakatan Rakyat, malah rakyat tak berparti yang bebas befirkir, telah dituduh dengan bermacam gelaran yang hina kerana tidak mahu kepada 1Malaysia yang nampak indah tapi amalannya busuk dan hapak.

Inilah gaya politik baru UMNO-BN laung-laungkan. Yang menegur, mengkritik dan tidak bersetuju dengan mereka, diibaratkan seperti sampah-sarap 1Malaysia. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.