Jawapan Kepada Isu Penyingkiran Datin Sabariah Ahmad, Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) Yayasan Selangor

Oleh Yayasan Selangor

1. Isu yang disiarkan oleh Malaysia Today pada 22 Julai 2011 berkenaan PENYINGKIRAN TIMBALAN PENGURUS BESAR (PENDIDIKAN) YAYASAN SELANGOR adalah isu lama yang sedang dalam proses penyiasatan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor.

2. Penyiaran kisah ini bolehlah dianggap sebagai usaha beliau atau pihak-pihak yang menyokong beliau untuk meraih simpati dan berniat jahat dengan memberikan gambaran buruk terhadap pengurusan Yayasan Selangor.

3. Beliau sebenarnya “bernasib baik” kerana diterima bekerja di Yayasan Selangor sejak tahun 1998 dan “survive” walaupun Laporan Siasatan Audit Dalam Yayasan Selangor yang bertarikh 18 Mei 1999 dengan jelas mengesyorkan supaya perkhidmatan beliau ditamatkan.

4. Ini kerana penemuan audit itu mendapati bahawa beliau telah memalsukan nama jawatan dan gaji akhir beliau semasa bekerja di Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn. Bhd., iaitu kononnya beliau bertugas sebagai akuantan dengan gaji sebanyak RM5,500.00 sebulan, sedangkan pihak pengurusan hotel itu mengesahkan bahawa beliau hanyalah seorang Pegawai Akaun dengan gaji sebanyak RM3,500.00.

5. Hal ini mendorong pihak pengurusan Yayasan Selangor pada tahun 1998 menawarkannya jawatan tetap selaku Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Gred N1 (setara dengan Gred 54 kini) dengan gaji sebanyak RM5,859.00.

6. Laporan Audit Dalam itu “lenyap” begitu sahaja apabila beliau berkahwin dengan Dato’ Zolkarnain Abd. Rahman, Pengurus Besar Yayasan Selangor yang menyandang jawatan itu pada tahun 1999 hingga 2001.

7. Seperti staf yang lain, beliau dinilai mengikut prestasi semasa dan beberapa kali ditukarkan ke jawatan lain atas keperluan organisasi.

8. Beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Ogos 2010 melalui surat bertarikh 12 Julai 2010 rujukan no. (91)dlm.YS/SM/03/037 dengan Gred Utama C (VU7).

9. Perlantikan itu dengan jelas menyebut perkara 2.8 Pengesahan Jawatan dan Tempoh Percubaan yang berbunyi:

“Pengesahan jawatan puan adalah tertakluk kepada prestasi kerja puan di sepanjang tempoh percubaan iaitu selama enam (6) bulan. Puan boleh dikembalikan ke jawatan asal oleh Yayasan Selangor dengan gred dan tanggagaji yang asal sekiranya prestasi kerja puan dalam tempoh tersebut tidak memuaskan.”

10. En. Ilham Marzuki selaku Pengurus Besar Yayasan Selangor mendapati prestasi Datin Sabariah Ahmad selaku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) adalah tidak memuaskan, dan pada 10 November 2010, Pengurus Besar telah memaklumkan hal ini kepada YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor.

11. Beliau turut memaklumkan bahawa Datin Sabariah Ahmad telah dikembalikan ke jawatan asalnya selaku Pengurus Kanan Hal Ehwal Pelajar (mulai 1 November 2010), iaitu jawatan yang disandangnya mulai 3 Mei 2010 (sehingga dilantik sebagai Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Julai 2010 dan seteruskan dinaikkan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

12. Oleh sebab beliau membuat aduan kepada Dato’ Menteri Besar Selangor yang kononnya beliau dianiaya dan arahan supaya beliau diletakkan semula (reinstated) ke jawatan asalnya, maka pada 3 Disember 2010, beliau telah dikembalikan ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

13. Pada 8 Disember 2010, semua gaji dan elaun tertunggak telah dibayar kepada beliau. Ini bermakna beliau telah menerima hak beliau sebagaimana yang dikehendaki.

14. Mengikut laporan Bahagian Sumber Manusia, beliau tidak hadir ke pejabat pada 1 - 3 Disember 2010, tetapi pihak Sumber Manusia ketika itu tidak mengambil apa-apa tindakan, walaupun Skim Perkhidmatan Yayasan Selangor menyatakan bahawa sesiapa yang tidak hadir 2 hari berturut-turut menurut fasal 4.6.1:

“... seseorang kakitangan yang tidak hadir bertugas selama 2 hari berturut-turut tanpa mendapat cuti yang sah atau tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada ketua bahagian atau tanpa sebab-sebab yang munasabah adalah satu kesalahan dan disifatkan telah menamatkan perkhidmatannya secara sukarela dengan Yayasan Selangor.”

15. Beliau kemudian mendapat cuti sakit secara bersambung-sambung pada 4 hingga 17 Disember 2010.

16. Sayugia dicatatkan bahawa sepanjang tahun 2008, beliau pernah mengambil cuti sakit (klinik biasa) selama 63 hari dan cuti sakit kerana dimasukkan ke hospital selama 150 hari.

17. Manakala pada tahun 2009, beliau telah mengambil cuti sakit (klinik biasa) sebanyak 22 hari dan cuti sakit kerana dimasukkan ke hospital sebanyak 60 hari.

18. Beliau sebenarnya sekali lagi bernasib baik kerana Bahagian Sumber Manusia ketika itu patut merujuk kes kesihatan beliau kepada Panel Perubatan untuk diberi pertimbangan khas.

19. Berdasarkan perkara 12 dan 13 di atas, kes beliau sepatutnya sudah selesai dan tiada lagi kes berbangkit.

20. Bagaimanapun, pada 21 Disember 2010, beliau telah menulis surat yang kononnya beliau telah diberhentikan kerja secara terancang (constructive dismissal) hanya atas alasan pejabat beliau dipindahkan ke Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur.

21. Sesungguhnya perpindahan beliau ke tempat tersebut adalah supaya beliau memberikan tumpuan kepada permasalahan kemerosotan pencapaian pelajar yang merupakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab beliau di Bahagian Pendidikan.

22. En. Ilham Marzuki selaku Pengurus Besar Yayasan Selangor tidak sama sekali berniat jahat terhadap beliau kerana sepanjang perkhidmatan Datin Sabariah di bawah pengurusannya, beliau telah tiga kali dinaikkan pangkat, iaitu sebagai Pengurus Kanan pada 3 Mei 2010 dan sebagai Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Julai 2010, dan seterusnya sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) pada 1 Ogos 2010.

23. Sekiranya beliau ditempatkan di ibu pejabat di Petaling Jaya, seperti amalan sebelum ini, keberkesanan tugasan beliau tidak dapat diukur. Oleh itu, dengan keberadaan beliau di lokasi khusus pelajar, beliau sepatutnya diharapkan dapat memahami dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

24. Apa yang didakwa sebagai constructive dismissal hanyalah “persepsi” beliau bagi menutup kelemahan prestasi beliau dan masalah cuti sakit yang berpanjangan.

25. Perlu dingatkan bahawa jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) yang beliau sandang itu masih dalam tempoh percubaan (1 Ogos 2010 hingga 30 Januari 2011). Adalah menjadi hak Pengurus Besar untuk menilai dan membuat keputusan mengenai prestasi beliau sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan).

26. Oleh kerana beliau telah membuat aduan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor, kes beliau kini masih di peringkat awal dan tiada sebarang keputusan dicapai setakat ini. Oleh itu, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan demi keadilan kedua-dua pihak.

27. Yayasan Selangor bersedia mematuhi sebarang keputusan yang berasaskan undang-undang dan tidak berniat untuk berlaku tidak adil kepada beliau dan sesiapa sahaja, asalkan kepentingan majikan dan pekerja terpelihara.

28. Adalah ditegaskan bahawa kedudukan staf sebagai sebahagian daripada pasukan pengurusan Yayasan Selangor tertakluk kepada Skim Perkhidmatan, kepentingan organisasi dan rakyat Negeri Selangor. Prestasi kakitangan sentiasa dipantau supaya kehadiran mereka berbaloi dan setimpal dengan gaji, elaun dan kemudahan yang diterima.

Disediakan oleh:

Bahagian Sumber Manusia
Yayasan Selangor.
23 Julai 2011.


TERDAHULU BERKAITAN ISU


Penyingkiran Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) Yayasan Selangor


Ilham telah mengarahkan supaya surat perpindahan Datin Sabariah dikeluarkan dengan segera. Ilham juga mengarahkan supaya semua aset milik Yayasan Selangor yang ada pada Datin Sabariah diambil semula. Datin Sabariah telah menyerahkan semua aset pada hari yang sama, 29 Oktober 2010.


Datin Sabariah Ahmad merupakan seorang kakitangan tetap Yayasan Selangor dan akan bersara wajib bila mencapai umur 55 tahun pada penghujung 2011.

Beliau merupakan isteri kepada mantan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Dato’ Zurkarnain A. Rahman (1998-2000).

Datin Sabariah dinaikkan jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) dengan tempoh percubaan selama enam bulan yang bermula dari 1 hb. Ogos 2010.

Pada hari Jumaat 29 Oktober 2010, Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki telah berjumpa semua kakitangan di surau Menara Yayasan Selangor.

Ilham membaca surat layang yang dihantar kepada ketua isteri beliau. Isteri Ilham bekerja di Jabatan Perancangan Ekonomi (EPU) di Putrajaya.

Ilham mengesahkan KEBENARAN bahwa (a) dia, Ilham Marzuki adalah ahli PAS yang suka menyebut kata-kata lucah seperti pundek, pukimak, kongkek, babi dan (b) Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Mohd Saifulruddin bin Sulaiman adalah seorang samseng setinggan yang memiliki banyak kereta.

Di akhir perjumpaan itu, Ilham memberitahu kakitangan yang hadir bahwa penulis surat tersebut dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di Johor. Orang-orang lama Yayasan membuat kesimpulan bahawa Datin Sabariah, Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) adalah orang dimaksudkan oleh Ilham.

Selesai perjumpaan itu, Ilham telah mengarahkan supaya surat perpindahan Datin Sabariah dikeluarkan dengan segera. Ilham juga mengarahkan supaya semua aset milik Yayasan Selangor yang ada pada Datin Sabariah diambil semula. Datin Sabariah telah menyerahkan semua aset pada hari yang sama, 29 Oktober 2010.

Surat perpindahan menyebut bahawa Datin Sabariah ditukar ke Bahagian Sumber Manusia SUK pada 1 November 2010.

Pejabat SUK mempersoalkan perpindahan mendadak Datin Sabariah kerana lazimnya sebarang proses penempatan pegawai dari anak syarikat hendaklah dimulakan dengan permohonan rasmi dari Pengurus Besar anak syarikat kepada Pejabat SUK/Menteri Besar.

Alasan yang diberikan oleh Ilham ialah Datin Sabariah tidak mampu menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) dengan memuaskan. Datin Sabariah telah diturunkan pangkat dan gaji dan elaun-elaun sebagai Timbalan Pengurus Besar telahpun ditarik balik.

Semasa ditempatkan di Bhg Sumber Manusia SUK, Datin Sabariah telah cuba untuk mendapatkan bantuan Setiausaha Politik MB, Puan Faekah dan MB sendiri untuk dipindahkan balik ke pejabat beliau di Yayasan Selangor, Petaling Jaya. Malangnya beliau tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

Pada 1 Disember 2010 Datin Sabariah telah menulis surat kepada MB Selangor menyatakan ketidakpuasaan hati beliau terhadap tindakan memindahkan beliau ke SUK tanpa sebarang alasan yang munasabah. Di dalam surat berkenaan Datin Sabariah telah memberi tempoh kepada MB untuk memindahkan beliau kembali ke jawatan Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) atau bersedia untuk menghadapi tindakan perundangan.

Datin Sabariah diarah pulang ke Yayasan Selangor tetap tidak dibenarkan kembali ke Pejabat Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan) di Menara Yayasan Selangor, PJ. Sebaliknya beliau ditempatkan di Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur.

Datin Sabariah telah meletakkan jawatan pada pertengahan Disember 2010 dan membuat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Selangor. Kes beliau telah didengar pada bulan Mac 2011. Sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan muktamad dicapai.

No comments

Powered by Blogger.