Najib nafi restu projek saluran paip gas RM300b

Oleh Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 29 Julai — Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau telah memberi lampu hijau kepada sebuah syarikat tempatan untuk membangunkan projek saluran paip gas serantau sejauh 8,000 kilometer menghubungkan negara-negara Asean termasuk Malaysia dengan China.

Perdana Menteri kelihatan bingung apabila ditanya oleh pemberita hari ini berhubung kenyataan PanelPoint Sdn Bhd semalam bahawa Najib telah memberikan restu ke atas projek mereka yang bernilai AS$100 bilion (RM300 bilion).

“Tidak, tiada perkara sedemikian. Ia tidak pernah dibincangkan,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Syarikat tempatan yang hanya dikenali PanelPoint semalam mengumumkan usahanya membentuk sebuah konsortium bagi membangunkan saluran paip gas 8,000 kilometer melibatkan pelaburan AS$100 bilion (RM300 bilion).

Bagaimanapun semalam, wartawan yang skeptikal tidak memperoleh banyak maklumat mengenai usaha sama itu, yang bakal membangunkan projek dikenali sebagai saluran paip Trans-Asian Oil and Gas (TOAG).

Syarikat itu berkata ia telah menerima restu secara hitam putih daripada perdana menteri.

Bagaimanapun ia tidak mempamerkan sebarang dokumen yang berkaitan.

“Bercakap mengenai aspek kewangan, kami cuba dan tidak menghebahkan secara besar-besaran kerana kami tidak mahu mendedahkan terlalu banyak butiran,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif PanelPoint Che Nordin Ismail.

TOAG, rangkaian paip gas semula jadi serantau yang pertama, akan menghubungkan Mersing dengan Jakarta, utara Kepulauan Natuna, Ho Chi Minh City, Hanoi, Guangzhou dan Hong Kong.

Gas, yang kebanyakannya dari Indonesia, akan disalurkan melalui saluran 8,000 kilometer kepada pembeli-pembeli di China sebaik sahaja ia selesai dalam 10 tahun.

Syarikat dalam konsortium terdiri daripada Hubei Weiguang Municipal Gas Investment and Development Co Ltd, PWS Manufacturing Sdn Bhd, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Asia Bolts and Nuts Group, Lotus Action Sdn Bhd dan Techknow Industrial Sdn Bhd.

No comments

Powered by Blogger.