Ashraf gagal tukar nama jadi wanita meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana selepas menjalani pembedahan jantina, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu awal pagi ini.

Dia dilaporkan berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah yang rendah.

Mahkamah menolak permohonan dia pada 18 Julai lalu.

Dalam satu temu bual dengan media keluaran 20 Julai lalu, Ashraf mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya dan sanggup dibunuh.

Bagaimanapun kata Ashraf, 25, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hasratnya itu.

Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak Ashraf yang lebih mesra dipanggil “Aleesha” berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, dia rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik.

“Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi. “Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman,” katanya.

Ashraf membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Dia membuat pendedahan menukar jantina di Thailand pada 2009.

Dalam pada itu, Bernama Online memetik bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.

Dia dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah. Aziz berkata beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.

Semalam, doktor mengesahkan anaknya itu mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ‘unstable angina with cardiogenic shock’.

Katanya Ashraf sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak.

No comments

Powered by Blogger.