Pemimpin: Baik Zaid undur, bukan bubar Kita

G MANIMARAN

SHAH ALAM - Sebahagian besar kepimpinan negeri tidak bersetuju dengan pendirian Datuk Zaid Ibrahim yang mahu membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), sebaliknya menggesa beliau berundur jika sudah tidak mampu untuk mengemudi parti yang berusia setahun itu.

"Parti tidak berhadapan dengan sebarang masalah. Kalau Datuk Zaid sudah tidak mampu untuk memimpin Kita, saya mencadangkan kepada beliau berundurlah saja," kata Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim kepada Sinar Harian Online malam ini.

Zamil yang sedang dalam ke ibu negara untuk mengadakan satu sidang media esok berkata, "Datuk Zaid kena tahu bahawa ini bukan syarikat, kita boleh tutup jika kita tidak suka."

Beliau menegaskan, jikapun cadangan Zaid untuk memubarkan Kita berjaya kelak, pihaknya akan menghidupkan semula parti berkenaan.

"Seperti yang disaksikan ketika 1988, Umno yang diharamkan, dihidupkan semula. Kami akan menghidupkan semula Kita," kata beliau sambil menggesa Zaid meneladani langkah Dato' Onn Jaafar yang memutuskan untuk meninggalkan Umno apabila tidak sehaluan dengan pendirian perwakilan dan kepimpinan lain.

"Dato' Onn tidak membubarkan parti, beliau keluar. Datuk Zaid kena berundur jika sudah tidak mampu lagi," katanya lagi.

Pagi tadi, Zaid berkata, Kita akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan, "untuk membuang mana-mana dan semua keraguan yang kita sesungguhnya menyokong pembangkang", khasnya ketika sesetengah anggotanya di Kedah dan Pulau Pinang dengan secara terbuka kritikal mengenai pakatan pembangkang PAS-DAP-PKR.

"Mereka sering melakukannya, yang jelas menunjukkan mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar membabitkan negara dan hanya mahu memalukan dan mencemuh pembangkang," katanya.

Beliau berkata ideanya menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

Zaid, bagaimanapun, tidak memberitahu bila EGM itu akan diadakan. Parti itu yang genap setahun bulan lepas, ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR ekoran dakwaan ada penyelewengan dalam pemilihan PKR.

No comments

Powered by Blogger.