Rakyat Diseru Pilih Pemimpin Pejuang Rakyat

http://tvsnews.net/v1/images/news_images_upload/anwar-khalid%20CNY.JPG

Oleh Lizawati Madfa

CHERAS, 1 FEB : Rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu memilih kerajaan yang bekerja kuat, yang memperjuangkan nasib mereka serta mampu menyediakan masa depan yang lebih baik dan terjamin.

Itulah amanat dan pesanan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapannya dalam satu majlis rumah terbuka Sambutan Tahun Baru Cina di padang Flat Sri Johor, Batu 3 1/2 di sini petang tadi.

“Ada yang kata Anwar Ibrahim alat Cina. Nanti ada yang akan kata saya alat India. Memang saya mengaku saya alat Cina, saya alat India, saya alat Melayu.

“Kerana saya mahu jadi pemimpin yang menjadi alat kepada seluruh rakyat mendapatkan apa yang selama ini patut dinikmati mereka,” tegas Anwar.

Anwar turut berkongsi kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang menjaga harta dan kebajikan rakyat dengan baik di negeri-negeri pentadbirannya.

“Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang misalnya telah memperuntukkan lebih kurang RM1 billion wang kerajaan negeri bagi menyediakan rumah kos rendah yang mampu dimiliki rakyat.

“Sepatutnya ia dimajukan oleh kerajaan persekutuan tetapi oleh kerana kerajaan lembab, maka kerajaan negeri pakatan mengambil inisiatif sendiri demi rakyat,” jelas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat ini.

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan bahawa kerajaan Selangor kini mempunyai RM 1.9 ribu juta simpanan selepas perbelanjaan melebihi RM 500 juta.

“Kenaikan rezab ini adalah sebanyak 27 peratus daripada tahun lalu. Jadi dengan lebihan ini dapatlah kita berbelanja untuk rakyat.

“Bukan seperti kerajaan persekutuan yang terpaksa berhutang untuk beri rakyat wang imbuhan, sebaliknya kita menggunakan wang yang ada dalam tangan untuk dikembalikan pada rakyat,” beritahu Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam pada itu, EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata bahawa majlis sambutan seumpama ini seharusnya menjadi program wajib untuk mengeratkan barisan pimpinan kerajaan dengan rakyat.

“Kesempatan ini bukan sekadar untuk merapatkan hubungan dua hala rakyat dan pemimpin, tetapi juga boleh dijadikan platform bagi kerajaan menjelaskan dasar-dasar mereka kepada rakyat.

“Ini kerana rakyat seharusnya faham dan tahu apa yang dilakukan kerajaan samada betul atau salah,” ulas Ronnie.

Majlis sambutan anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Parti Keadilan Rakyat Bandar Tun Razak itu bermula seawal jam 2.30 petang dan dihadiri kira-kira 2,000 rakyat dari pelbagai kaum. Sebanyak 14 gerai makanan dan minuman yang disediakan disamping acara selingan nyanyian dan bacaan sajak oleh penduduk di situ.

Di samping itu juga, Khalid turut menyampaikan sumbangan angpaw kepada warga emas dan kanak-kanak.

Selain Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Ronnie Liu, antara tetamu lain yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub serta Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad.

No comments

Powered by Blogger.