EME : Sedia Uruskan Pendaftaran Kemasukan Mahasiswa Dan Mahasiswi Baru Ke Al-Azhar



Prihatin Mesir | TERKINI | STATUS PENGAJIAN

EME : Sedia Uruskan Pendaftaran Kemasukan Mahasiswa Dan Mahasiswi Baru Ke Al-Azhar

Mohandissein, 10 September 2013 - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan rasmi bersama dengan Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato'HjSafei , Pengarah Education Malaysia Egypt (EME) bertujuan untuk mendapatkan maklumat khusus berkaitan status pendaftaran mahasiswa dan mahasiswi baru ke Universiti Al-Azhar.

PMRAM yang diwakili oleh saudara Abdul Aziz Bin Ali, Presiden PMRAM dan beberapa orang pimpinan Badan Pengurus PMRAM serta wakil Yang Di Pertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) menghabiskan sekitar 2 jam setengah dalam perbincangan tersebut.

Hasil daripada perjumpaan tersebut, pihak EME memaklumkan bahawa pihak beliau bersetuju untuk pengurusan pendaftaran kemasukan pelajar baru ke Universiti Al-Azhar sesi pengajian 2013/2014 sebagaimana biasa. Adapun kedatangan mahasiswa dan mahasiswi baru terpulang kepada pihak masing-masing untuk meneruskan penghantaran pelajar ataupun tidak berdasarkan kepada konsisi terkini situasi Mesir.

Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Su’aidi Dato' Hj Safei dalam perjumpaan tersebut menegaskan bahawa tiada halangan untuk para pelajar meneruskan pengajian mereka di Mesir ini.

" EME tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk datang ke Mesir akan tetapi EME bersedia untuk memberi khidmat nasihat dan penerangan serta pandangan berkaitan keadaan Mesir dan menyarankan pihak-pihak terbabit agar merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan ". Ujar beliau lagi.

Pengarah EME juga menafikan kenyataan akhbar sebelum ini yang menyatakan bahawa pihak EME tidak akan menguruskan proses pendaftaran kemasukan pelajar baru ke Universiti Al-Azhar tersebut.

PMRAM melihat bahawa kenyataan di peringkat EME ini sedikit sebanyak membuka peluang kepada para pelajar untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan hasrat mereka menyambung pengajian di Mesir atau ke tempat lain. Perkara ini juga sebenarnya banyak membantu pihak-pihak di Malaysia dalam membuat keputusan yang terbaik berikutan telah tersebar di media massa sebelum ini ura-ura pihak EME tidak menguruskan pendaftaran mahasiswa baru sebagai mana yang dilaporkan.

" Kita mengharapkan agar pelajar yang benar-benar ingin meneruskan pengajian mereka di Mesir supaya menyemak dan memastikan bahawa borang permohonan mereka telah diproses di Malaysia dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia bagi melicinkan lagi proses pengurusan di peringkat EME ". ucap saudara Ahmad Shahrir Bin Alias selaku Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi BahasaPMRAM 2013 usai perjumpaan tadi.

PMRAM mengalu-alukan kedatangan adik-adik baru yang berminat untuk belajar di Mesir dan bersedia untuk memberi khidmat kebajikan kepada mereka dalam pelbagai lapangan di masa yang akan datang.

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Sumber : pmram.org

Posted by Abu Maryam

No comments

Powered by Blogger.