Kenaikan harga barang ketetapan Allah kata Fathul Bari
Aku dah rasa. Kenyataan akan datang juga demi menyelamatkan najib rosmah.
Bab agama pulas memulas ni bagi kat fathul bari. Hang memang kaki redha la ustaz.
Bagus juga ada ustaz macam hang ni. Boleh juga cari makan, kesian juga tengok umno takda kaki agama yang boleh diusung.
Harga barang ketetapan ALLAH
FATHUL BARI
Oleh: FATHUL BARI
Tarikh: September 8, 2013
Dalam dunia ini, tidak ada yang gembira jika terpaksa bayar lebih untuk satu produk yang sama. Tidak ada yang suka harta berkurang sedangkan pekerjaan dan tanggungan kian bertambah.
Semua orang suka kesenangan, keuntungan, rezeki yang lapang, bonus, hadiah, serta pulangan lumayan dari apa yang dibelanjakan. Namun tidak semua harapan itu terealisasi di alam nyata. Realitinya manusia sering diuji dengan perkara yang dibenci.
Dunia bukan syurga yang semuanya ideal. Manusia yang sedar tahu bahawa dunia dicipta sebagai tempat ujian dan mereka melaluinya dengan cara yang Penciptanya redai.
Ini kerana setiap ujian datang daripada ALLAH tidak secara langsung tetapi melalui pelbagai wasilah, sama ada melalui teman rapat, keluarga, pemimpin, orang kaya, dan sebagainya. Buktinya adalah firman ALLAH, “Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, adakah kamu bersabar. Dan Tuhanmu Maha Melihat.” (Al-Furqan: 20)
Kenaikan harga barang adalah ujian dalam bentuk kesusahan dan bukan kenikmatan. Ia bukan suatu disukai dan diraikan, ia adalah azab, penderitaan bagi orang miskin.
Seseorang memiliki akidah lurus sentiasa mengaitkan apa yang terjadi, baik nikmat mahupun azab kepada ALLAH. Hal ini ditunjukkan dalam satu peristiwa di mana harga barang di pasar Madinah menjadi mahal pada zaman Nabi. Anas bin Malik ra. berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’”
Para sahabat meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang miskin dapat membeli dengan harga mampu milik. Namun mungkin kita tidak sangka Baginda enggan memenuhi permintaan itu antaranya kerana bimbang menzalimi peniaga.
Jawab Baginda, “Sesungguhnya ALLAH, Dialah yang menetapkan harga itu. Dialah ALLAH yang melapangkan, Dialah ALLAH yang menyempitkan, Dialah ALLAH yang memberi rezeki. Sungguh aku berharap aku bertemu ALLAH SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Abu Daud)
Banyak pelajaran yang boleh dipetik dari hadis yang mulia ini. Pelajaran terpenting adalah akidah; iaitu beriman setiap yang terjadi adalah qadarullah (ketetapan ALLAH). Ini adalah rukun Iman keenam. Tindakan menyalahkan peniaga, kerajaan, pengundi adalah menyalahi akidah suci ini.
Islam melarang keras umatnya berkalau-kalau, contohnya “kalau parti itu memerintah tentu harga barang tidak naik”, kerana ucapan ini membuka pintu syaitan merosak akidah manusia.
Siapa yang mengetahui kecuali ALLAH? Boleh jadi musibah lebih besar terjadi sekiranya hal itu berlaku. Oleh itu Islam mengajar apabila berdepan situasi yang tidak disukai untuk mengucapkan Qaddarallah wama syaa-a fa’al (ALLAH telah menetapkan dan Dia berbuat apa yang dikehendakiNya).
Perintah ini sejajar dengan hadis kenaikan harga tadi, juga sabit dalam sabda Nabi, “Jika suatu musibah menimpamu, jangan kamu berkata: ‘Kalau aku lakukan begini tentu akan jadi begini dan begini’. Tetapi ucapkanlah, Qaddarallah wama syaa-a fa’al, kerana ‘kalau’ membuka pintu syaitan. (Riwayat Muslim)
Di samping itu, menjadi kewajipan atas manusia untuk beriman bahawa yang meluaskan dan menyempitkan rezeki adalah ALLAH semata, dalam erti kata turun naik harga barang tidak mempengaruhi rezeki. Ini sebagaimana firman ALLAH, “ALLAH meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Al-Ra’d: 26)
Sabda Nabi SAW, “Jika kamu bertawakal kepada ALLAH dengan tawakal yang sebenar pasti ALLAH memberi kamu rezeki sepertimana Dia memberi burung rezeki. Burung pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petangnya dalam keadaan kenyang.” (Sahih. Al-Tirmizi)
Bukanlah rezeki menjadi luas dan sempit kerana manusia, bukan juga yang memberi rezeki itu kerajaan atau diri sendiri, sebaliknya semua daripada ALLAH. Naik dan turun harga barang juga daripada ALLAH. “Segala nikmat yang ada padamu dari ALLAH, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” (Al-Nahl: 53)
Kita juga dituntut memperbanyakkan syukur, sedekah dan istighfar yang dengannya ALLAH akan tambahkan nikmat dan rezeki. Jika kita melakukannya dengan cara yang benar dan sabar, sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji.
No comments
Post a Comment